Isnin, 12 Ogos 2019 | 6:35pm
Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz (dua dari kanan) mengagihkan daging pada Program Korban Perdana di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HSPF), hari ini. - NSTP/Adi Safri

Rawatan susulan mangsa pencemaran kimia tetap diteruskan

MUAR: Jabatan Kesihatan Johor masih melakukan rawatan susulan terhadap semua mangsa bencana pencemaran kimia di Pasir Gudang.

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abd Aziz, berkata walaupun tiada mangsa terbaharu dilaporkan, pihaknya tetap menjalankan proses rawatan, terutama dari segi fizikal dan psikologi.

“Kes baharu memang tidak ada. Bagi kes lama, kita memang ada membuat susulan kepada semua mangsa yang berkaitan dan ia dilakukan secara berterusan.

“Semua pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dahulu selepas kes di Sungai Kim-Kim juga masih menerima susulan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang atau di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

“Setakat ini kita tidak mengesan apa-apa kompilasi jangka pendek atau jangka panjang. Bagaimanapun, proses susulan ini tetap dibuat oleh pasukan perubatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Program Korban Perdana Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah HPSF, Dr Muhammad Yusof Sibert.

Dr Selahuddeen berkata, pihaknya juga melakukan proses psikologi first aid di sekolah yang terjejas dalam bencana itu.

“Proses psikologi ini diberikan kepada secara berterusan kepada mangsa yang terkesan dengan kejadian berkenaan. Ia dilakukan secara berterusan supaya tahap psikologi semua mangsa ini akan kembali pulih semula kelak,” katanya.

Terdahulu, Dr Selahuddeen menyertai kakitangan hospital berkenaan melakukan ibadah korban sebelum mengagihkan daging itu kepada golongan pesakit, fakir miskin dan anak yatim dari sekitar daerah ini.

Selain itu, program yang memasuki edisi ke 10 penganjurannya itu bertujuan untuk meningkatkan ukhuwah dan memupuk nilai Islam dalam kalangan warga kerja HPSF.

Berita Harian X