Khamis, 15 Ogos 2019 | 12:28pm
SEBUAH Volkswagen Golf GTI 2.0 berjaya dibida pada harga RM30,100 tidak sampai lima minit selepas ia dilelong pada Program Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman

JPJ Melaka kutip lebih RM1.37 juta lelong 87 kenderaan sita

MELAKA: Program Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka hari ini berjaya mengumpulkan RM1.37 juta hasil lelongan 87 buah kenderaan sita.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk hasil kutipan buku lelong sebanyak RM30,400 sejak ia mula dijual 22 Julai lalu.

Menurutnya, semua 87 kenderaan sita terdiri daripada 84 kereta, sebuah lori dan dua buah van berjaya dilelong kepada orang awam melalui proses bidaan yang tamat pada jam 1 tengah hari tadi selepas proses bermula jam 10 pagi.

"Daripada 87 kenderaan yang dilelong, 81 adalah kenderaan boleh dilesenkan, enam dikategorikan sebagai tidak boleh didaftarkan (scrap).

"Sementara itu, untuk kenderaan klon saja, daripada 79 buah, 77 boleh dilesenkan dan dua adalah ‘scrap’," katanya pada sidang media selepas program lelongan berkenaan di JPJ Bukit Katil, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata bidaan tertinggi bagi kenderaan boleh dilesenkan adalah sebuah kenderaan jenis Toyota Estima tahun 2006 pada harga RM45,000 walaupun nilai rizab hanya RM12,700.

"Bagi kutipan bidaan terendah bagi kenderaan 'scrap' pula adalah sebuah Perodua Kancil yang dibida pada harga RM300,” katanya.

Berita Harian X