Khamis, 15 Ogos 2019 | 6:30pm
KETUA Cawangan Faedah II dan Skuad Prihatin, Ismail Abi Hashim (dua dari kiri) dan Pengurus PERKESO Temerloh, Roziah Abd Wahid (tiga dari kiri) menyampaikan faedah pengurusan mayat kepada Jenab Sulaiman (tiga kanan) sambil diperhatikan oleh Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Pahang Hamzi Hanifa Mahyuddin (kanan)di Taman Bahagia. - Foto Roselan Ab Malek

Dua balu pemandu teksi dapat faedah PERKESO

TEMERLOH: “Saya tidak tahu arwah suami ada buat caruman (dengan PERKESO) dan terkejut apabila dihubungi pihak PERKESO yang memaklumkan mengenainya.

“Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya bayaran pencen bulanan ini dapat menampung keperluan keluarga saya dan keluarga madu,” kata Jenab Sulaiman, 68.

Jenab adalah isteri pertama kepada pemandu teksi, Nordin Kapas, 72, yang maut dalam kemalangan ketika bekerja, pada 12 Ogos lalu.

Nordin meninggalkan sembilan anak hasil perkongsian dengan Jenab manakala dua anak bersama isteri keduanya, Gayah Ninggal, 65.

Jenab berkata, arwah suaminya bekerja sebagai pemandu teksi sejak 30 tahun lalu dan dia tidak mengetahui wujudnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pemandu teksi.

“Saya tidak tahu sama ada arwah suami tidak sempat beritahu saya atau dia memang mahu merahsiakannya,” katanya.

Jenab berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Faedah PERKESO yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Faedah II, Skuad PERKESO Prihatin, Ismail Abi Hashim.

Hadir sama, Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri, Azhar Md Nadzri; Timbalan Pengarah PERKESO Pahang, Hamzi Hanifa Mahyuddin dan Pengurus PERKESO Temerloh, Roziah Abdul Wahid.

Sementara itu, Hamzi Hanifa berkata, kedua-dua balu arwah menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,000 seorang dan Faedah Orang Tanggungan.

Katanya, Allahyarham Nordin mendaftar dengan PERKESO di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak skim berkenaan diperkenalkan pada 1 Jun 2017 mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Bagi Faedah Orang Tanggungan, dua balu arwah akan menerima pencen bulanan iaitu sebanyak RM283.50 seorang manakala seorang anak arwah yang berusia 17 tahun layak mendapat pencen bulanan RM378 sebulan.

“Balu akan mendapat pencen ini sepanjang hayat manakala anak arwah akan mendapat pencen sehingga berusia 21 tahun dan jika melanjutkan pelajaran, dia akan menerimanya sehingga ijazah pertama,” katanya.

SKSPS adalah skim baharu yang dilaksanakan PERKESO bagi memberi perlindungan kepada pemandu teksi, e-hailing (perkhidmatan pengangkutan) dan pemandu bas.

Mulai 1 Ogos 2019, PERKESO melancarkan Ops Patuh yang bertujuan mengesan pemandu yang masih ingkar untuk mendaftar dan mencarum dengan PERKESO.

Berita Harian X