Jumaat, 16 Ogos 2019 | 12:37pm
http://www.sukarelawansiswa.my/

217 sertai Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN di Sarawak

PUTRAJAYA: Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS)-ASEAN yang bermula 19 Ogos ini akan menyaksikan 217 sukarelawan YSS dari 10 negara ASEAN berkampung selama tiga minggu di Sarawak.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas, berkata sukarelawan pelbagai institut pengajian tinggi termasuk dari China itu akan dilatih menjadi ikon sukarelawan dengan menanamkan semangat sukarelawan dalam diri setiap peserta.

Selain itu, katanya, sukarelawan YSS juga dilatih menjadi seorang yang berintegriti dan tidak mengharapkan bayaran atau balasan bagi setiap kerja yang mereka lakukan.

“Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN adalah satu pentas yang hebat untuk membangunkan Sukarelawan Global ASEAN dalam memenuhi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN yang menggalakkan rakyatnya menyertai program sukarelawan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan meletakkan kepentingan bagi menghasilkan graduan yang holistik dan mempunyai semangat keusahawanan yang seimbang, selaras pelan pembangunan dalam sektor pengajian tinggi.

“Di Malaysia, Kementerian Pendidikan melalui YSS akan memastikan usaha pelajar yang mengikuti bidang sukarelawan ini akan terus dipertingkatkan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran dan Flag Off Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mohd Ghazali berkata beliau amat gembira kerana YSS memainkan peranan aktif dalam memupuk nilai dan semangat sukarelawan khususnya dalam bidang pendidikan.

“Diharapkan semua sukarelawan yang mewakili negara masing-masing akan belajar budaya tempatan sepanjang tiga minggu misi berkenaan berlangsung di Sarawak.

“Luangkan masa untuk memahami etnik dan budaya yang ditonjolkan di sana nanti. Ketahuilah bahawa kesemua perbezaan yang terdapat di sana nanti tidak menghalang masyarakat untuk mencapai keharmonian,” katanya.

Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ini adalah kesinambungan Misi Sukarelawan Siswa YSS yang membabitkan pelajar dari semua negara ASEAN termasuklah Brunei, Kemboja, Thailand, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam dan Singapura.

Berita Harian X