Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:12pm
Menara Teruntum dijangka dibuka kepada orang ramai pada Oktober depan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Menara Teruntum dijangka dibuka kepada orang ramai pada Oktober depan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Terjun lelabah antara tarikan Menara Teruntum

KUANTAN: Terjunan lelabah antara aktiviti yang disediakan kepada pengunjung Menara Teruntum apabila menara kedua tertinggi di Malaysia itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat, berkata menara berketinggian 180 meter di tepi Sungai Kuantan itu menjanjikan pelbagai kemudahan dan aktiviti menarik kepada pengunjung.

“Menara ini menawarkan pemandangan indah bandar Kuantan dan dekat dengan Laut China Selatan apabila siap sepenuhnya kelak. Sekarang sudah 98 peratus siap dan dijangka akan siap sepenuhnya pada awal September depan.

“Turut tersedia di atas menara ini adalah pemandangan 360 darjah bandar Kuantan dan pelantar pemerhati terbuka pada ketinggian 104 meter dari aras tanah,” katanya.

Beliau berkata, lebih menarik lagi apabila pengunjung dapat naik ke atas menara dengan dua lif kaca yang dipasang dalam menara.

Malah, katanya menara terbabit juga mempunyai restoran di ketinggian 98 meter yang akan memberikan pemandangan Sungai Kuantan dan sebahagian besar ibu negeri di kaki langit.

“Bagi mereka yang agak takut kepada ketinggian, boleh mencuba skywalk pada ketinggian 104 meter. Malah, terdapat kedai serta kafe di tingkat bawah bangunan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata apabila siap kelak, menara terbabit akan menjadi mercu tanda yang akan dicetak pada cenderamata termasuk poskad sebagai aktiviti promosi.

“Maklumat mengenai Menara Teruntum bersama tarikan lain yang berdekatan akan disediakan di tingkat bawah menara dan akan ada pegawai informasi yang akan mengiringi pelawat bagi menerangkan apa yang ditawarkan di menara itu,” katanya.

Beliau berkata, dengan usaha promosi yang dirancang, Menara Teruntum akan menawarkan platform tontonan, restoran, kedai dan aktiviti yang akan muncul sebagai salah satu tarikan pelancongan utama di negara ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X