Ahad, 18 Ogos 2019 | 2:08pm
AHMAD FITRI (kanan) dan isterinya, Nor Hayatie bersama anak angkatnya, Muhammad Syawal (tengah) sedang mencari ibu sebenar anak angkatnya ketika ditemui di rumah mereka di Apartmen Cempaka, Taman Bunga Raya semalam. NSTP/Md Fuzi Abd Lateh.
AHMAD FITRI (kanan) dan isterinya, Nor Hayatie bersama anak angkatnya, Muhammad Syawal (tengah) sedang mencari ibu sebenar anak angkatnya ketika ditemui di rumah mereka di Apartmen Cempaka, Taman Bunga Raya semalam. NSTP/Md Fuzi Abd Lateh.

Mana ibu kandung Muhammad Syawal?

BUKIT BERUNTUNG: Seorang suri rumah, merayu agar ibu kandung kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang ditinggalkan di bawah penjagaannya untuk menuntut anaknya kembali.

Nor Hayatie Che Hassan, 33, yang menetap di Apartmen Cempaka, Taman Bunga Raya, di sini, berkata kanak-kanak itu, Muhammad Syawal, ditinggalkan di rumahnya sejak 14 Disember tahun lalu tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, jika ibu kanak-kanak itu tidak mahu mengambil anaknya semula, wanita itu diharap untuk menghubunginya untuk memudahkan proses pengambilan anak angkat.

“Pada awalnya saya diminta menjaga anak ini oleh ibunya yang dikenali sebagai ‘Ina’ yang juga tinggal di taman perumahan sama ketika wanita itu bekerja di sebuah kilang di Bukit Beruntung.

NOR HAYATIE bersama Syawal memegang salinan laporan polis dibuat Balai Polis Bukit Sentosa pada 4 Mac 2018 bagi mencari ibu sebenar anak itu ketika ditemui di rumahnya Apartmen Cempaka, Taman Bunga Raya semalam. NSTP/Md Fuzi Abd Lateh.
NOR HAYATIE bersama Syawal memegang salinan laporan polis dibuat Balai Polis Bukit Sentosa pada 4 Mac 2018 bagi mencari ibu sebenar anak itu ketika ditemui di rumahnya Apartmen Cempaka, Taman Bunga Raya semalam. NSTP/Md Fuzi Abd Lateh.

“Selama tiga bulan Muhammad Syawal dijaga saya bersama suami, Ahmad Fitri Salleh, 40, di rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas menyerahkan anaknya, Ina terus menghilangkan diri dan tidak lagi menjenguk kanak-kanak itu lagi.

Nor Hayatie berkata, beliau ada membuat laporan polis pada 4 Mac lalu di Balai Polis Bukit Sentosa mengenai kejadian itu,

Katanya, kini beliau dan suami menjaga kanak-kanak itu sebagai anak angkat mereka dan merayu ibunya segera bertemu mereka untuk menjelaskan keadaan sebenar demi menyelesaikan masalah yang berlaku itu.

“Walaupun kini saya mengandung anak pertama berusia tujuh bulan tapi saya tetap sayangkan Muhammad Syawal yang cukup periang dan bijak bercakap.

“Kami terpaksa menghantarnya belajar di sebuah tadika Islam swasta di Taman Bunga Raya kerana tidak mempunyai sebarang dokumen diri yang sah,” katanya.

Nor Hayatie berkata, beliau dan suaminya yang juga pemandu lori syarikat swasta ada melaporkan kejadian itu dan mendapatkan khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu untuk status pengambilan anak angkat namun masih belum berjaya.

“Kami perlu menunggu lagi hingga mendapatkan pengesahan ibu kepada Muhammad Syawal akan keadaan sebenar. Saya hairan mengapa anak ini ditinggalkan begitu saja.

“Saya membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan Muhammad Syawal demi menjaga kebajikan dirinya yang dahagakan kasih sayang ibu dan bapa,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai status ibu anak itu bolehlah menghubungi Ahmad Fitri di 017 -3119905.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X