Selasa, 20 Ogos 2019 | 12:20pm
PENGURUSAN Jabatan Tapak Pelupusan Trienekens (Sarawak) S/B, Julian Gabriel Bain menunjukan kawasan tapak pelupusan sampah di Mambong Kuching. NSTP/L Manimaran

Sisa plastik membimbangkan

KUCHING: Sisa plastik menjadi kebimbangan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd apabila kadar pembuangannya di tapak pelupusan sampah di sini iaitu Taman Pengurusan Sampah Bersepadu Kuching (KIWMP) semakin bertambah saban tahun.

Berdasarkan survei yang dibuat Trienekens (Sarawak) bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Sarawak Waste Management (SWM) pada tahun 2010 di KIWMP, 16 peratus daripada sisa buangan di situ adalah terdiri daripada plastik iaitu ketiga terbanyak.

Sisa terbanyak ialah makanan iaitu 33 peratus dan kertas 19 peratus tetapi perbezaannya dengan plastik adalah kedua-dua sisa ini cepat mereput.

Menurut Pengurus Jabatan bagi Tapak Pelupusan, Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, Julian Gabriel Bain, trend sampah terutamanya plastik akan terus bertambah selari dengan pembangunan pesat kawasan komersial dan perumahan khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuching dan Miri.

“Kita ada banyak sisa plastik sekarang kerana industri semakin berkembang termasuk kawasan-kawasan perumahan.

“Sisa seperti plastik yang sepatutnya boleh dikitar semula pada akhirnya sampai ke tapak pelupusan kami juga,” katanya pada sidang media di pejabat Trienekens (Sarawak) di sini, semalam.

Katanya, walaupun sudah ada inisiatif oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan industri untuk mengawal penggunaan plastik namun jika tidak mendapat sokongan dan kesedaran masyarakat maka usaha itu agak sukar dicapai.

Justeru, beliau berkata ia bergantung kepada sama ada orang ramai mengitar semula atau tidak, kerana hanya dengan mengitar semula dapat mengurangkan sampah.

“Jadi, ia bergantung kepada sama ada orang ramai mengitar semula atau tidak,” katanya.

Pengurus Jabatan (Tanggungjawab Sosial Korporat) Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, Janet Jonathan Balong pula, berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif sebagai usaha memupuk kesedaran tentang kesan sampah kepada alam sekitar.

Antaranya pengurusan sampah dan pendidikan kitar semula di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Katanya, mendidik generasi muda tentang kepentingan pengurusan yang baik dan pembuangan sampah amat penting dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab dan sedar tentang alam sekitar.

“Trienekens sudah mula mendekati sekolah dengan objektif ini menerusi program sekolahnya ‘Wise Up to Waste’.

“Pelajar dari tadika hingga ke sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, diajar tentang impak pencemaran sampah, kaedah pengurusan sampah sekarang yang diusahakan baik secara tempatan mahu pun global selain bagaimana mereka dapat memainkan peranan penting, sebagai individu dan anggota masyarakat, dalam usaha untuk memperbaiki situasi sampah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Trienekens juga menyokong semua inisiatif kitar semula dan menerusi program sekolahnya, syarikat itu telah memperkenalkan projek pengasingan sampah pepejal untuk menggalakkan amalan kitar semula terbaik di beberapa buah sekolah sama ada dalam kolaborasi dengan PBT atau secara langsung dengan sekolah.

Berita Harian X