Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:05pm
Kebakaran tanah gambut di Kuala Baram. - NSTP/Kandau Sidi
Kebakaran tanah gambut di Kuala Baram. - NSTP/Kandau Sidi

20,000 topeng muka diagih di sekolah dan IPT

KUCHING: Lebih 20,000 topeng muka dibekalkan kepada beberapa buah sekolah termasuk Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Miri, yang terjejas akibat kebakaran tanah gambut di Kuala Baram.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata topeng muka itu adalah untuk diagihkan kepada pelajar di sekolah dan IPT di Kuala Baram, Senadin, Tudan dan Permyjaya.

“Kami sudah menghantar topeng muka kepada beberapa sekolah untuk diagihkan kepada pelajar masing-masing,” katanya yang dihubungi, semalam.

Menurut Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, jumlah topeng muka yang disediakan itu adalah mencukupi untuk diagihkan kepada setiap pelajar.

Beliau juga berharap agar setiap pelajar memakai topeng muka yang disediakan agar tidak menghidu sepenuhnya asap kebakaran, yang boleh menyebabkan kesesakan nafas.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Miri juga akan berterusan memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Sementara itu, usaha memadamkan kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, yang mencecah keluasan 104 hektar sedang giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dengan dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan pesawat Bombardier.

Setakat ini, lebih 41.5 hektar kawasan terjejas akibat kebakaran berjaya dipadamkan.

Kebakaran ini menyebabkan kualiti udara di wilayah utara Sarawak pada tahap bahaya, sehingga kerajaan Sarawak memohon agar dijalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di lokasi kebakaran.

Namun Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati keadaan atmosfera di kawasan itu tidak stabil dan tidak sesuai untuk OPA dijalankan minggu ini.

Berita Harian X