Rabu, 21 Ogos 2019 | 1:47pm
Peserta mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Larian Tunas Merdeka Tabika Perpaduan Daerah Muar di Pejabat Daerah Muar. - NSTP/Adi Safri

Pupuk semangat patriotisme sejak kanak-kanak

MUAR: Semua kanak-kanak perlu diberikan pendedahan dan bimbingan yang sewajarnya supaya mereka dapat memahami kepentingan semangat cintakan negara.

Selain itu, mereka juga perlu diberikan pendedahan mengenai kepentingan mengamalkan cara hidup yang sihat, sekali gus berupaya untuk mengetengahkan segala potensi yang ada dalam diri kanak-kanak ini.

Pegawai Daerah Muar, Mohd Haffiz Ahmad, berkata elemen ini akan dapat menjadikan kanak-kanak membesar menjadi seorang dewasa yang mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan negara kelak.

“Tanpa semua elemen ini, kanak-kanak tidak dapat belajar di sekolah dengan baik, sekali gus mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka.

“Justeru, kita berharap dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Daerah Muar ini akan dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk menonjolkan semangat patriotisme mereka pada masa depan,” katanya.

Mohd Haffiz (tengah) dan Nuru Hudah (kanan) merasmikan Program Larian Tunas Merdeka Tabika Perpaduan Daerah Muar di Pejabat Daerah Muar, hari ini. - NSTP/Adi Safri

Persembahan pakaian tradisional oleh peserta ketika Program Larian Tunas Merdeka Tabika Perpaduan Daerah Muar di Pejabat Daerah Muar. - NSTP/Adi Safri

Beliau berkata demikian pada Program Larian Tunas Merdeka Tabika Perpaduan Daerah Muar di Pejabat Daerah Muar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Norhayati Bachok dan Pegawai Perpaduan Daerah Muar dan Tangkak, Nurul Hudah Maon.

Seramai 500 kanak-kanak dari 23 Tabika Perpaduan di daerah menyertai program berkenaan yang turut diserikan dengan acara membaca ikrar dan sajak oleh kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, Nurul Hudah berkata, program itu dilaksanakan bagi menanam semangat patriotisme kanak-kanak sejak kecil lagi.

“Kanak-kanak juga akan lebih terdidik dengan perasaan menghargai keharmonian yang ada dan secara tidak langsung mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara kelak.

“Ia bukan sekadar laungan merdeka semata-mata tetapi apa yang penting adalah memahami, menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian itu dengan lebih bermakna,” katanya.

Berita Harian X