Khamis, 22 Ogos 2019 | 11:31am
Pelajar pendidikan khas memungut cendawan di Projek Rumah Cendawan Bestari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Pelajar pendidikan khas tanam cendawan tiram

KUANTAN: Projek Rumah Cendawan Bestari diusahakan pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah, di sini sejak Mac lalu, mencatat kejayaan membanggakan.

Fasa kedua projek itu kini memiliki 1,000 bongkah cendawan jenis tiram kelabu yang mampu mengeluarkan hasil antara 15 hingga 20 kilogram (kg) seminggu.

Pengurus projek, Faizal Abdul Halim, berkata projek tanaman cendawan itu bermula dengan 500 bongkah cendawan dan pihak pengurusan mengambil keputusan menambah jumlah bongkah selepas melihat kepada hasilnya yang sangat baik.

“Projek Rumah Cendawan Bestari diusahakan sepenuhnya oleh pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran yang setiap hari melakukan aktiviti menyiram, memetik dan menjualnya.

“Seramai 21 pelajar terbabit sepenuh masa dalam mata pelajaran kemahiran vokasional itu dan pelbagai pendedahan diberikan kepada golongan berkenaan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, permintaan terhadap cendawan begitu menggalakkan dan menyaksikan pengeluaran tidak dapat memenuhi permintaan bertambah setiap minggu.

Faizal berkata, setiap pelajar turut membungkus dan menjual kepada guru serta kakitangan sekolah pada harga RM5 sebungkus seberat 200 gram.

“Kita menyasarkan sebanyak 3,000 bongkah dapat ditempatkan dalam rumah cendawan pada masa akan datang bagi memberi lebih peluang kepada ramai pelajar terbabit dengan projek itu,” katanya.

Bagi Wan Qhairina Umirah Wan Khairuddin, 14 minat mendalam mendorong dia terbabit menjayakan projek itu sejak ia dimulakan.

“Saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada guru, Noor Mazlyna Mokhtar yang menjadi perintis projek cendawan khas untuk pelajar pendidikan khas.

“Setiap hari saya bertanggungjawab memungut cendawan matang dan membungkusnya sebelum dijual,” katanya yang berharap projek cendawan dapat diperbesarkan lagi.

Berita Harian X