Ahad, 25 Ogos 2019 | 8:03am
Tan Poo Heng (tengah) melayan pelanggan di kedai runcitnya di Pekan Sanglang. - Foto BERNAMA

Bahasa Jawa jadi penghubung, erat hubungan masyarakat Pontian

PONTIAN: Pandai berbahasa Jawa mungkin satu kebiasaan bagi masyarakat Melayu berketurunan Jawa di sekitar daerah ini, tetapi berbeza bagi Tan Poo Heng, seorang peniaga kedai runcit di Pekan Sanglang, dekat sini.

Warga emas berusia 73 tahun itu menganggap kemahirannya berbahasa Jawa satu ‘anugerah’ sekali gus membolehkannya mengeratkan hubungannya dengan masyarakat sekitar yang berbilang bangsa dan budaya.

“Saya mempelajari bahasa Jawa sekitar tahun 1970-an. Pada ketika itu, selalu bercampur dengan masyarakat Jawa di kampung. Jumpa hari-hari, selalu bertutur bahasa Jawa, dari situ pandai berbahasa Jawa.

“Selain itu, orang tua-tua dahulu kalau datang ke kedai, tak pandai berbahasa Melayu tapi bercakap bahasa Jawa. Lambat laun faham apa yang mereka katakan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Poo Heng berkata, mempelajari bahasa baharu baginya tidak susah asalkan ada kemahuan.

“Tiap-tiap bangsa ada bahasa mereka tersendiri. Bila selalu bergaul dengan mereka, senanglah kita nak belajar bahasa mereka,” katanya yang juga mahir berbahasa Melayu, Bugis dan Inggeris.

Dengan kemahiran itu juga, Poo Heng yang juga generasi ketiga mengendalikan kedai runcit milik keluarganya, dapat bergaul rapat dengan komuniti dan masyarakat sekitar yang sering berkunjung ke kedai berkenaan untuk membeli keperluan harian.

Mengakui bahasa adalah medium terbaik untuk menyatupadukan masyarakat, beliau berkata kemahirannya bertutur bahasa Jawa menggembirakan rakan-rakannya sekali gus mengeratkan silaturahim antara mereka.

“Kalau kita jumpa orang Jawa, boleh bertutur bahasa Jawa dengan mereka, hati gembira kerana sama-sama boleh memahami apa yang diceritakan,” katanya yang mesra dipanggil BT oleh penduduk kampung.

Sementara itu, penduduk kampung berdekatan, Zulaimian Kasimen, 49, berkata dia mengenali Poo Heng sejak tahun 80-an.

“Pak cik BT seorang yang mesra tak kira bangsa. Kalau ada orang Melayu datang kedai dia cakap Jawa, dia cakap Jawa. Kalau ada orang Melayu datang kedai dia cakap Bugis, dia pun cakap Bugis,” kata.

Seorang lagi penduduk sekitar dari Ayer Baloi, Hairulizan Saat menyifatkan kemahiran BT bertutur bahasa Jawa secara tidak langsung merapatkan hubungan sesama kaum. - BERNAMA

Berita Harian X