Isnin, 26 Ogos 2019 | 11:09pm
Abdul Ghariff (empat dari kiri) merasmikan Program Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan Peringkat Sekolah Negeri Selangor 2019 di Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang. - NSTP/Faiz Anuar

FAMA Selangor sedia berbincang dengan kerajaan negeri

KLANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor bersedia berbincang dengan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan tanah wakaf terbiar bagi penanaman pokok buah-buahan.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghariff Ramin, berkata walaupun belum ada perbincangan buat masa ini, langkah memanfaatkan tanah terbiar untuk penanaman dan pengeluaran buah-buahan tempatan memang digalakkan.

“Kita sentiasa berbincang dengan kerajaan negeri mengenai lokasi hendak dimajukan seperti Sabak Bernam atau Kuala Selangor.

“Jika ada tanah terbiar, mungkin dibawa kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk dibincangkan,” katanya pada sidang media selepas Program Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan Peringkat Selangor 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan perancangan FAMA untuk membangunkan tanah wakaf terbiar, khususnya di pinggir bandar dan kawasan terpencil di seluruh negara dengan penanaman durian Musang King.

Mengulas mengenai program hari ini pula, Abdul Ghariff berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan murid melebihkan pengambilan buah-buahan dalam hidangan harian.

“Program ini diadakan setiap tahun di sekolah berbeza-beza dengan tumpuan diberi kepada rambutan, durian, manggis, pisang, tembikai. Hari ini, murid dijamu dengan buah-buahan ini yang disumbangkan sepenuhnya oleh FAMA,” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghariff berkata, setakat ini, tiada hasil pertanian di Selangor yang terjejas meskipun keadaan cuaca tidak menentu, malah pihaknya juga tiada menerima aduan daripada petani berhubung perkara berkenaan.

Berita Harian X