Selasa, 27 Ogos 2019 | 7:23pm
Peniaga membersihkan kedai yang dilanda Taufan Lekima di Pantai Tengah Langkawi, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Rumah mangsa taufan Lekima di Kedah akan siap dibaiki bulan depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri memberi jaminan semua kediaman penduduk kampung di Kedah yang rosak akibat dibadai tempias taufan Lekima baru-baru ini, akan siap dibaik pulih menjelang akhir bulan depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kerja mengagihkan bantuan kewangan bagi membantu membaik pulih kediaman mangsa ribut berkenaan mengambil masa agak lama kerana kerajaan negeri perlu menilai jumlah kerosakan sebenar.

“Kita perlu membuat penilaian terhadap kerugian dan kerosakan. Pengumuman sudah dibuat sebelum ini ialah kediaman yang mengalami kerosakan kurang daripada RM5,000 akan dibaiki segera.

“Bagaimanapun bagi rumah yang mengalami kerosakan lebih RM5,000 akan dinilai secara terperinci bagi membolehkan kita memberi bantuan sebaik mungkin kepada mereka.

“Setakat ini tidak banyak rumah yang sudah siap diperbaiki kecuali kediaman yang hanya memerlukan kayu dan zink boleh disiapkan secepat mungkin.

“Jika kerosakan teruk kita kena panggil tukang rumah untuk baik pulihnya tetapi saya yakin semua kediaman berkenaan dapat dibaik pulih dalam tempoh sebulan lagi,” katanya selepas menghadiri pengumuman pelancaran penerbangan Qatar Airways ke Pulau Langkawi yang dijangka beroperasi mulai 15 Oktober depan.


Dari kiri: Naib Presiden Kanan Asia Pacific Qatar Airways, Marwan Koleilat; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Akbar Al Baker; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan pada sidang media mengenai penerbangan Qatar Airways Doha-Langkawi di Kuala Lumpur. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya mengenai ramai mangsa taufan Lekima di Kedah masih belum menerima bantuan membaik pulih kediaman bernilai RM5,000 seperti dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.

Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau melihat laporan dibuat oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston, mengenai kadar kemiskinan di Malaysia daripada sudut positif dan membolehkan kerajaan membantu golongan terbabit keluar daripada garis kemiskinan tegar.

Justeru Mukhriz berpandangan kerajaan wajar meningkatkan kadar garis kemiskinan daripada RM980 kepada RM1,200 sebulan supaya lebih ramai golongan miskin dapat dibantu kerajaan.

“Kita sendiri gerakkan garis kemiskinan itu ke RM1,200 sebulan, maksudnya lebih ramai orang yang akan diiktiraf sebagai miskin dan bagi sayalah bukan kita nak lebih ramai orang miskin, tetapi bagi saya bila kita buat pengiktirafan seperti itu maka segala daya upaya kerajaan untuk membantu orang miskin lebih agresif,” katanya.

Berita Harian X