Khamis, 29 Ogos 2019 | 2:34pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri (kiri) mengagih dan memasang Jalur Gemilang dan pelekat khas keselamatan Jabatan Kerja Raya (JKR) sempena Hari Kemerdekaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri (kiri) mengagih dan memasang Jalur Gemilang dan pelekat khas keselamatan Jabatan Kerja Raya (JKR) sempena Hari Kemerdekaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini. - Foto BERNAMA

Majlis Pengangkutan Negeri Johor ditubuh atasi masalah kesesakan

KULAI: Majlis Pengangkutan Negeri Johor (MPNJ) akan ditubuhkan bagi merancang, melaksana dan melicinkan sistem pengangkutan negeri ini, sekali gus mengatasi kesesakan termasuk di Tambak Johor, menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, berkata penubuhan MPNJ akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum kertas kerjanya disiapkan dalam masa terdekat.

Katanya, MPNJ akan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal selain membabitkan keanggotaan agensi negeri dan Persekutuan.

“MPNJ ditubuhkan supaya menjadi jawatankuasa tunggal yang menggerakkan pelbagai agensi bagi menyelesaikan masalah kesesakan di bandaraya Johor termasuk menyediakan pelan jangka pendek dan panjang jika isu kesesakan berbangkit.

“Pelan jangka pendek termasuk menyediakan kertas kerja bagi menyuraikan kesesakan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 dan Tahun Melawat Johor selain penyelesaian kesesakan Tambak Johor.

“Kerajaan Johor juga akan menubuhkan tabung khas bagi mengkaji serta mencari jalan mengatasi kesesakan supaya pelaksanaannya boleh disegerakan tanpa menunggu peruntukan yang mungkin mengambil masa lama, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengagih dan memasang Jalur Gemilang dan pelekat khas keselamatan Jabatan Kerja Raya (JKR) sempena Hari Kemerdekaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada MPNJ berbeza dengan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) yang sudah diwujudkan, Solihan berkata, MPNJ adalah agensi menyelaras, manakala PAJ pula adalah agensi pelaksana.

“PAJ akan melaksana kertas kerja atau arahan dikeluarkan MPNJ bagi kelancaran dan melicinkan kesesakan trafik sekitar bandaraya Johor Bahru.

“Kertas kerja penubuhan MPNJ sebenarnya sudah ada kerana kita mengguna pakai model yang pernah dicadangkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA),” katanya.

Berita Harian X