Khamis, 29 Ogos 2019 | 11:43pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/Mikail Ong

Kerajaan negeri arah kaji semula garis panduan pembangunan cerun

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan mengadakan perbincangan segera bagi menaik taraf garis panduan pembangunan cerun sedia ada.

Arahan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, hari ini susulan hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Berhubung Insiden di Tapak Binaan Tanjung Bungah, yang dikeluarkan semalam.

“Saya sudah arahkan pihak terbabit untuk duduk bersama dan berbincang selama sebulan, mengenai garis panduan cerun sedia ada Pulau Pinang dan bagaimana kita dapat memperbaikinya.

“Selepas ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, akan membentangkan hasil cadangan dan tindakan perlu bagi memastikan insiden seperti di Tanjung Bungah tidak berulang,” katanya.

Kon Yeow bercakap pada sidang media selepas mesyuarat itu di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A Rajendran.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Berhubung Insiden di Tapak Binaan Tanjung Bungah semalam mendedahkan empat pihak termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bertanggungjawab terhadap tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 pekerja kira-kira dua tahun lalu.

Tiga pihak lagi ialah jurutera perunding, Khoo Koon Tai dari syarikat perunding projek itu, Perunding KAA Sdn Bhd; jurutera perunding, Victor Ong dari syarikat perunding One Smart Engineering Sdn Bhd dan kontraktor, Choongcons (Penang) Sdn Bhd.

Sementara itu, Rajendran berkata, dua jurutera yang dinamakan dalam laporan berkenaan iaitu Koon Tai dan Victor Ong ditukar selepas insiden pada 21 Oktober 2017 itu.

“Saya boleh sahkan kedua-duanya ditukar dan tidak menyambung tugas sebagai jurutera perunding untuk projek berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke tapak binaan rumah mampu milik 50 setinggi tingkat itu mendapati kerja pembinaan sudah disambung semula dengan kira-kira 30 peratus siap.

Dalam pada itu, Pengarah JKKP Pulau Pinang, Jaafar Leman, ketika dihubungi berkata beliau tidak dapat memberi kenyataan berhubung laporan itu dan menyerahkannya kepada Ibu Pejabat JKKP di Putrajaya.

“Saya tidak dapat komen kerana saya sendiri juga belum membaca laporan itu. Kenyataan mungkin akan dibuat oleh Ibu Pejabat,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.57 pagi pada 21 Oktober 2017, seramai 11 pekerja pembinaan maut dalam tragedi runtuhan tanah.

Mereka ialah lima warga Bangladesh iaitu Abdullah Al Mamum, Alam Md Nur, Hossen Mia, Mohammad Monirul Islam dan Rahaman Abdur; dua warga Indonesia iaitu Erwin dan Hosrin; dua warga Myanmar iaitu Rahmatullah Mohd Sidiq dan Yunus Nazir Huson serta masing-masing seorang warga Pakistan dan Malaysia, iaitu Ali Raza Muhammad Jamil dan Yuan Kuok Wern.

Berita Harian X