Jumaat, 30 Ogos 2019 | 12:12pm
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo (kiri) melihat bumbung rumah selepas dilanda ribut, di Pangsapuri Mutiara Idaman, Jelutong. - Foto Danial Saad

RM1.24 juta baik pulih rumah terjejas ribut

GEORGETOWN: Sebanyak RM1.24 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi kerja baik pulih rumah yang terjejas dalam kejadian ribut di seluruh negeri ini, awal bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata kerja membaik pulih yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu membabitkan 93 rumah di setiap daerah.

“Sebanyak RM388,857.90 diperuntukkan bagi 41 rumah di daerah Timur Laut, manakala RM60,000 bagi dua kediaman di daerah Barat Daya dan RM18,500 di daerah Seberang Perai Selatan.

“Peruntukan bernilai RM89,148.96 pula diberi bagi kerja baik pulih lapan rumah di daerah Seberang Perai Tengah dan RM688,650 untuk 40 kediaman di Seberang Perai Utara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 9 Ogos lalu, beberapa negeri di utara Semenanjung termasuk Pulau Pinang dilanda ribut kencang susulan tempias Taufan Lekima dengan kelajuan angin direkodkan pada paras 100.8 kilometer sejam dengan taburan hujan sebanyak 53 milimiter, antara jam 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam.

Susulan itu, 150 aduan pokok tumbang akibat ribut kencang ekoran tempias Taufan Lekima diterima Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), manakala 152 aduan di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kebanyakannya menghalang lalu lintas.

Terdahulu, Jagdeep bersama Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim turut melawat mangsa ribut di Apartment Mutiara Idaman 1, di sini.

Mengulas kerja baik pulih rumah di pangsapuri itu, Jagdeep berkata, sebanyak RM220,00 diperuntukkan dengan keseluruhan proses membaiki kerosakan akan dijalankan selama dua minggu oleh kontraktor dilantik.

“Proses baik pulih di sini (Apartment Mutiara Idaman 1) membabitkan kerja membaik pulih kekuda, penutup bumbung, siling dan pendawaian elektrik di tujuh rumah terjejas dalam kejadian ribut.

“Selain itu, kerja pembersihan semua serpihan akibat ribut terbabit sudah sepenuhnya pada 15 Ogos lalu, membabitkan kos keseluruhan bernilai RM977,910.

“Kita juga berterima kasih kepada kerajaan yang menyumbang peruntukan bernilai RM2.02 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih ekoran kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, mangsa ribut, Nurul Kamsiah Samat, berkata pihaknya lega selepas mendengar pengumuman berkenaan, selain berterima kasih atas bantuan diberikan.

“Saya lega kerana rumah kami yang rosak akan dibaiki dan berharap proses baik pulih dapat disiapkan segera.

“Kami sekeluarga ingin segera pindah masuk ke rumah semula selepas menetap di dewan sementara yang disediakan pihak pengurusan apartment ini,” katanya.

Berita Harian X