Jumaat, 30 Ogos 2019 | 4:16pm
MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob beramah mesra dengan peniaga selepas merasmikan PasarKu (PK) Comey di Medan Ilmu, hari ini. - Foto Fathil Asri
MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob beramah mesra dengan peniaga selepas merasmikan PasarKu (PK) Comey di Medan Ilmu, hari ini. - Foto Fathil Asri

Tandas masjid tak ok, tidak akan diberi penghawa dingin

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mahu tandas di negeri ini diberikan perhatian sebaik-baiknya selaras dengan pelbagai kempen kebersihan yang dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata, langkah terbabit selari dengan teguran yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai keadaan tandas di negara ini yang dilihat masih tidak bersih dan tidak selesa.

“Kita juga mengambil peranan dalam kempen ini sebagai salah satu inisiatif menjaga kebersihan tandas, terutamanya di masjid.

“Banyak masjid yang buat permohonan mendapatkan penghawa dingin.

“Kalau tandas (masjid) tidak ok (bersih), kita tidak akan beri penghawa dingin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PasarKu (PK) Comey di Medan Ilmu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyaksikan bacaan ikrar daripada peniaga di Medan Ilmu dalam merealisasikan kempen PK Comey yang dilaksanakan di kawasan tersebut selama sebulan.

PK Comey adalah antara kempen kebersihan membabitkan 3,900 peniaga pasar tani, pasar malam dan pasar pagi di daerah ini.

Kempen PK Comey yang pertama dijalankan di Pasar Parit Dalam dan ia mendapat reaksi positif semua pihak, selain ia berjaya membawa kesedaran kepada seluruh masyarakat terbabit.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri sudah melakukan banyak program dan kempen kesedaran kebersihan selain menggunakan sebaik mungkin sumber asli negeri yang ada dalam pelbagai industri.

“Kerajaan berharap supaya seruan menjaga kebersihan ini diambil perhatian seluruh rakyat negeri ini, bukan hanya di kawasan tumpuan orang ramai, malah di kawasan perumahan itu sendiri,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X