Jumaat, 30 Ogos 2019 | 7:51pm
PENGERUSI Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Noripah Kamso berucap merasmikan Majlis Anugerah Graduan Cemerlang YBR 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

YBR iktiraf pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) setakat ini sudah mengeluarkan peruntukan lebih RM132 juta bagi menaja lebih 4,900 pelajar meneruskan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi (IPT), kata Pengerusinya, Datuk Noripah Kamso.

Beliau berkata, langkah itu bagi membantu membangunkan modal insan cemerlang yang menjadi tunjang kepada kemajuan negara pada masa depan.

Katanya, pendidikan menjadi asas penting dan kewujudan golongan cerdik pandai ini membolehkan pentadbiran dan pengurusan negara dapat dilakukan dengan baik, sekali gus meningkatkan imej negara di persada dunia.

“Melalui pendidikan juga, negara mampu melahirkan modal insan berkualiti dan menjadi tenaga mahir dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian (RI 4.0) masa kini.

“Tenaga mahir seperti ini amat diperlukan dalam proses membina dan membantuk negara maju, hebat serta berdaya saing seiring negara lain.

“Kepentingan pendidikan juga dapat dilihat sebagai jambatan atau medium kemajuan yang mana semakin tinggi ilmu seseorang, peluang mendapat pekerjaan lebih baik semakin meningkat atau menjadikan ‘job creator’ semakin cerah dengan ilmu pengetahuan,” katanya berucap merasmikan Majlis Anugerah Graduan Cemerlang YBR 2019, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Pengarah Urusan YBR, Datuk Rosman Mohamed, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Dr Rosli Azad Khan, Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Edham Reza Shah Abdul Rahman dan Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin.

Majlis itu bagi mengiktiraf pencapaian 47 graduan lepasan ijazah Sarjana Muda 2019 yang berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas.

Majlis yang sudah diperkenalkan sejak 2015 itu satu daripada inisiatif YBR menghargai dan memberi inspirasi kepada anak pemegang saham Bank Rakyat yang lain untuk mencapai keputusan akademik dan kokurikulum terbaik.

Graduan akan menerima wang tunai RM1,000 yang akan dimasukkan dalam akaun Bank Rakyat dan sijil penghargaan.

Sementara itu, beliau berkata, YBR boleh menukar Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada biasiswa bagi pelajar tajaan yang mendapat keputusan cemerlang.

“Sebenarnya, pengiktirafan ini akan dapat membakar semangat mahasiswa anak anggota Bank Rakyat dan tajaan YBR yang masih menuntut di IPT awam atau swasta untuk terus mencatat kejayaan membanggakan pada masa depan.

“Anugerah ini juga diharap dapat memotivasi mereka mencapai keputusan akademik terbaik dan menyokong agenda pendidikan negara melahirkan modal insan berketerampilan tinggi,” katanya.

YBR ditubuhkan pada 16 Mei 2007 bagi membantu rakyat Malaysia kurang berkemampuan, ahli Bank Rakyat dan anak mereka dalam bidang pendidikan serta pembangunan modal insan.

Berita Harian X