Sabtu, 31 Ogos 2019 | 4:17pm
Sebahagian peserta Zumba Merdeka di Taman Jaya yang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, pagi tadi.

Program Zumba Merdeka satukan peserta berbilang kaum

PETALING JAYA: Lebih 150 peserta senamrobik di Taman Jaya di sini, turut memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan hari ini menerusi program Zumba Merdeka selama dua jam tanpa henti.

Majlis yang dimulakan pada jam 8 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran peserta yang memakai pakaian bertemakan Jalur Gemilang dan bersenam sambil mengibarkan bendera negara.

Penganjur program itu, Mohd Faizal Kamarulzaman, berkata semangat kenegaraan perlu dipupuk dalam kalangan semua masyarakat termasuk peserta berbilang bangsa yang sering mengikuti sesi senaman diadakannya di taman rekreasi itu pada setiap pagi Sabtu dan Ahad.

Susulan itu, katanya, program seumpama ini bukan saja dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan peserta yang hadir, malah acara sedemikian dapat menyihatkan badan.

“Saya kagum dengan sambutan memberangsangkan yang diterima daripada peserta yang hadir di Taman Jaya sejak awal pagi tadi walaupun program ini dirancang dalam tempoh singkat.

“Program yang menghimpunkan orang ramai yang suka bersenam dalam acara Zumba Merdeka ini, bukan saja dapat mengukuhkan lagi perpaduan kerana peserta yang hadir dalam kalangan pelbagai bangsa, malah ia menjadi medium terbaik memupuk semangat sayangkan negara.

“Ini kerana kita turut memainkan beberapa lagu berunsur patriotik dalam acara ini, sekali gus meningkatkan semangat kecintaan kepada negara, selain menghormati Jalur Gemilang,” katanya.

Mohd Faizal berkata, penganjuran program seumpama itu antara usaha dilakukannya dalam usaha menarik minat orang ramai bersukan.

“Saya dan rakan jurulatih, Nurfidahani Mukhtar mengendalikan sesi senaman secara percuma selama satu jam di Taman Jaya pada setiap pagi Sabtu di pentas utama dan pada pagi Ahad pula di kawasan lapang berdekatan Muzium Petaling Jaya dalam taman ini.

“Jadi, sesiapa yang berminat boleh menyertai kumpulan senamrobik kami kerana guru yang mengajar mempunyai kelayakan diiktiraf, malah acara seperti ini dapat menjaga kesihatan,” katanya

Bagi Low Wah Yun, acara sukan seperti Zumba Merdeka ini dapat menyatukan peserta berbilang kaum bersenam dalam suasana ceria.

“Program sukan seperti ini bukan saja dapat menyihatkan badan, malah kita boleh mengenali rakan lain.

“Saya kagum kerana kejayaan program ini hasil kerjasama semua peserta yang berganding bahu menyusun acara termasuk menjemput jurulatih zumba dari luar hadir sama,” katanya.

Berita Harian X