Isnin, 2 September 2019 | 5:17pm
SAIFUL Azwan Mat Nawi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kechik. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

'Wasiat abah jenazahnya disolatkan ramai orang terlaksana'

KOTA BHARU: “Wasiat abah yang mahu jenazahnya disembahyangkan ramai orang akhirnya terlaksana di Madinah,” kata Saiful Azwan Mat Nawi.

Saiful Azwan, 47, adalah anak kepada Mat Nawi Yaacob, 67, jemaah haji yang meninggal dunia di Madinah pada jam 12 tengah hari waktu Malaysia atau 7 pagi waktu tempatan, semalam, akibat sakit jantung.

Anak kedua daripada lima beradik itu, berkata ayahnya menyampaikan wasiat itu pada 10 Ogos lalu iaitu sehari sebelum Aidiladha menerusi aplikasi WhatsApp keluarganya.

Katanya, pada ketika itu, mereka tidak berfikir bukan-bukan, namun jika diingatkan kembali wasiat ayahnya itu, tiada lagi tempat lain yang mempunyai ramai orang melainkan di Masjid Nabawi, Madinah.

“Abah yang juga pesara Majlis Daerah Ketereh berangkat ke Tanah Suci Makkah bersama mak, Che Noria Che Hamid, 68, pada 30 Julai lalu. Pada mulanya abah dan mak tidak dapat pergi, namun selepas membuat rayuan akhirnya mereka berjaya terpilih.

“Sebelum ini, abah pernah diserang sakit jantung dua tahun lalu sehingga terpaksa menjalani pembedahan, dan turut diserang angin ahmar buat kali kedua awal tahun ini. Namun, kesihatan abah sudah baik sehingga mampu menunggang motosikal ke masjid setiap hari.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba abah jatuh pengsan atas katil ketika mahu bersiap untuk menyertai program ziarah selepas waktu Subuh. Rakan sebilik yang melihat keadaan abah ketika itu terus menghubungi mak sebelum terus bergegas ke bilik abah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Namun, katanya, ketika ibunya tiba di bilik, ayahnya sudah tidak bernyawa sebelum dia dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp oleh pihak pengurusan mengenai kejadian terbabit pada jam 1 tengah hari waktu Malaysia, semalam.

“Jenazah abah disembahyangkan di Masjid Nabawi selepas solat Zohor waktu tempatan sebelum dikebumikan di Perkuburan Baqi’. Kami juga sempat melakukan solat jenazah ghaib di Masjid Melor, di sini malam tadi,” katanya.

Sementara itu, anak bongsu arwah, Nur Syahira, 26, berkata mereka semua reda dengan pemergian ayahnya, namun terpaksa kuat supaya dapat memberi semangat kepada ibunya yang masih bersedih ketika ini.

Katanya, ayahnya terkenal dengan panggilan Pak Wie Burger Kedai Melor di sekitar Melor berikutan mula menjual burger sejak tahun 1989 sebagai pekerjaan sampingan, dan kini dia mengambil alih tugas itu pada dua tahun lalu.

“Abah sangat peramah dan baru sekarang kami tahu yang abah sering memberi sedekah dan zakat di masjid sekitar Melor selepas dimaklumkan imam ketika solat jenazah ghaib malam tadi,” katanya yang turut memberitahu ibunya akan pulang ke tanah air pada Khamis ini.

Berita Harian X