Selasa, 10 September 2019 | 6:18pm
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kanan) bercakap kepada media di Hotel Concorde, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

Selangor arah polis ambil tindakan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengarahkan polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka di Johan Setia, Klang, hingga mengundang peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata pihaknya mendapati pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut itu dilakukan warga asing yang menjalankan aktiviti pertanian.

“Isu pembakaran terbuka di Johan Setia memang di dalam perhatian kerajaan negeri.

“Perkara ini sudah beberapa kali dibawa dalam mesyuarat dan kerajaan Selangor masih mencari formula berkesan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Dialog Bajet 2020 Pemberdayaan Ekonomi Ke Arah Selangor Maju Bersama, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Shafee Yasin berkata pembakaran yang dilakukan petani di Johan Setia itu turut menyumbang kepada peningkatan IPU di kawasan berkenaan.

Mengulas keadaan jerebu di lima kawasan di Selangor, Amirudin berkata Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya IPU mencecah bacaan tahap tidak sihat.

Katanya, keputusan untuk menutup sekolah bergantung kepada keadaan semasa.

“Apabila IPU mencecah 100 hingga 200, kita akan ikut arahan pihak yang berkenaan.

“Buat masa ini saya menasihati orang ramai untuk elakkan daripada melakukan aktiviti luar jika tidak perlu,” katanya.

Berita Harian X