Rabu, 11 September 2019 | 11:46am
KETUA Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman

Air Selangor pemegang lesen tunggal bekalan air

SHAH ALAM: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di negeri ini serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 13 September ini.

Serentak itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman, berkata pelanggan akan mula menerima bil Air Selangor bermula pada tarikh berkenaan.

“Selain itu, tiada perubahan lain dalam terma dan syarat perjanjian perkhidmatan bekalan air yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor juga memperkenalkan logo baharu yang melambangkan komitmen syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Semalam, media melaporkan Air Selangor sudah memuktamadkan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi termasuk PNSB Water Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).

Pada 15 Oktober 2015, Air Selangor berjaya mengambil alih PNSB Water dan SYABAS dengan kos pengambilalihan berjumlah RM1.555 bilion.

Proses penstrukturan diteruskan dengan pengambilalihan ABASS pada 31 Disember 2015 dengan kos RM86 juta, diikuti KASB pada 11 Mac 2016 (RM6.4 juta) dan SPLASH dengan kos RM2.55 bilion yang dimuktamadkan pada 24 April lalu.

Berita Harian X