Rabu, 11 September 2019 | 2:16pm
MENTERI Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh (barisan hadapan tiga dari kiri) bergambar bersama penerima selepas majlis penyerahan cek pampasan tanah di Dewan Masyarakat Pakan, Sarikei. - Foto Khalid Latip

81 pemilik tanah diberi pampasan RM1.6 juta

SARIKEI: Seramai 81 pemilik tanah yang terbabit dalam projek pembinaan dan naik taraf jalan di Pakan, diberikan pampasan keseluruhan berjumlah RM1.6 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 73 cek pampasan berjumlah RM563,567.03 diserahkan kepada 48 pemilik tanah terbabit dalam Projek Pembinaan Jalan Rumah Wilfred Uli, Rumah Panggai, Ulu Dayat, Pakan.

Sebanyak 41 cek pampasan berjumlah RM1,091,858.20 pula akan diserahkan kepada 33 pemilik tanah yang terbabit dalam Projek Naik Taraf Jalan Pakan (Seksyen 2).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pemberian pampasan itu membuktikan kerajaan negeri tidak merampas tanah rakyat.

“Projek menaik taraf Jalan Pakan dilaksana bagi meluruskan jajaran yang sebelum ini bengkang-bengkok dan mengundang bahaya kepada pengguna.

“Projek Pembinaan Jalan Rumah Wilfred Uli, Rumah Panggai, Ulu Dayat, Pakan, pula dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada penduduk dari segi penjimatan kos dan memendekkan masa perjalanan ke Sarikei,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyerahan cek pampasan tanah bagi kedua-dua projek itu di Dewan Masyarakat Pakan, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Awang Tengah berkata, sebelum ini, penduduk di kawasan itu perlu melalui Pakan untuk ke Sarikei membabitkan jarak dianggarkan 70 kilometer (km).

Selepas siap projek pembinaan jalan berkenaan, katanya, penduduk sekitar dapat pergi terus ke Sarikei dengan jarak hanya 10km.

Beliau berkata, pembinaan jalan itu juga bakal membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitarnya.

Katanya, ia sekali gus membolehkan penduduk tempatan mendapat manfaat daripada pembangunan dibawa Kerajaan Sarawak pada semasa dan selepas jalan berkenaan dibina.

Malah, beliau berkata, kemudahan prasarana itu bakal menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di Pakan.

“Usaha ini nanti akan mewujudkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dan seterusnya memberi kesan positif kepada penduduk setempat,” katanya.

Berita Harian X