Rabu, 11 September 2019 | 4:26pm
PENGURUS Rumah Mahabbah, Salina Ismail memeriksa barangan keperluan harian yang akan diagihkan kepada golongan asnaf secara percuma. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Rumah Mahabbah kumpul sumbangan untuk asnaf

KOTA BHARU: Sebuah rumah di Kampung Guchil Bayam, di sini, menjadi pusat pengumpulan pelbagai barangan keperluan harian yang diagihkan kepada golongan asnaf secara percuma.

Rumah Yayasan Amal Mahabbah atau dikenali sebagai Rumah Mahabbah yang diwujudkan sejak lima tahun lalu oleh tiga individu, mengumpulkan barangan sumbangan orang ramai yang meliputi makanan dan pakaian.

Pengurus Rumah Mahabbah, Salina Ismail, 45, berkata makanan seperti beras, minyak masak, tepung gandum, gula, bihun dan teh sering disumbangkan penderma yang mengetahui akan kewujudan rumah itu.

“Penerima terdiri daripada golongan asnaf dari kawasan sekitar akan datang ke sini mendapatkan barangan keperluan yang purata nilainya RM50, sama ada secara mingguan atau bulanan.

“Saya sebagai orang yang diamanah mengagihkan barangan itu akan memeriksa latar belakang penerima, bukan secara sesuka hati boleh datang mengambilnya.

“Jika terbukti mereka adalah asnaf yang betul-betul memerlukan, misalnya ibu tunggal perlu menyara anak ramai, saya akan meminta mereka datang ke sini setiap kali bekalan makanan habis,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Salina berkata, ada penderma yang menyumbangkan pinggan mangkuk, perkakas elektrik dan pakaian sama ada yang baharu mahupun terpakai.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada segelintir orang menghantar pakaian terpakai yang sudah tidak boleh digunakan, termasuk koyak, kusam dan dipenuhi bintik hitam.

“Rupa-rupanya, ada yang memberi pakaian ingin dibuang selepas mengemas rumah. Mereka menyerahkannya kepada rumah ini atas niat menyumbang.

“Bagi saya, sepatutnya menyumbangkan pakaian masih elok kerana penerima bukan pengemis,” katanya sambil memaklumkan terpaksa menyewa van membawa semua pakaian tidak boleh lagi digunakan itu untuk dibuang.

Salina berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan terutama barangan makanan kerana selain penerima tetap, mereka juga mengagihkannya kepada golongan asnaf di daerah lain melalui program dianjurkan.

Pihak yang ingin memberi sumbangan dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Salina melalui talian 019-9691525.

Berita Harian X