Ahad, 15 September 2019 | 11:30am
Keadaan kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dan kereta Toyota Corolla berhampiran Kampung Monsolurung, Tambunan. - Foto ihsan Bomba

Maut kereta bertembung 4WD

TAMBUNAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan kereta jenis Toyota Corolla dipandunya bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kampung Monsolurung, di sini malam semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.25 malam itu, Paulus Nain, 37, yang tersepit di tempat duduknya disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Tambunan di lokasi kejadian.

Pemandu Toyota Hilux, Stephen Paulus, 43, pula dilaporkan cedera parah di bahagian kepala akibat impak pelanggaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan, Desmond Micky @Dominic, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.28 malam, dua jentera, termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa didapati masih berada di tempat duduk pemandu dalam kenderaan masing-masing. Pemandu 4WD yang parah dihantar ke Hospital Tambunan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dari kenderaannya yang remuk, namun disahkan meninggal dunia,”katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Desmond berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tambunan untuk bedah siasat.

Katanya, bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan jam 9.06 malam.

Berita Harian X