Isnin, 16 September 2019 | 9:56am
KEADAAN rumah mangsa yang rosak akibat ribut di Charok Sik. - Foto Safuri Kamarudin

22 rumah rosak dilanda ribut

BALING: Hujan lebat di daerah ini petang semalam mengakibatkan 22 buah rumah rosak dengan ada yang bumbungnya diterbangkan angin selain ditimpa pokok.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu lima mukim paling terjejas iaitu Pulai, Bongor, Siong, Kupang dan Tawar.

“Ribut disusuli dengan hujan lebat kira-kira 30 minit menyebabkan banyak atap diterbangkan angin dan berpuluh pokok tumbang menghempap rumah.

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian ini dan kita turut melawat serta memberi kit makanan kepada mangsa,” katanya.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Bechah Tok Bulan , Charok Sik, Padang Cik Mas, Bechah Sawa, Charok Bunting, Kampung Bandar dan Pokok Setol.

Shamsul Izrin berkata anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu memotong dahan pokok yang menghempap rumah dan merentangi laluan di kawasan kampung terjejas.

“Selain itu, Pejabat Daerah Baling, pihak polis dan dan pusat zakat turut turun padang menghulurkan bantuan,” katanya.

Berita Harian X