Rabu, 18 September 2019 | 6:13pm
SEMUA sekolah awam dan swasta di Selangor diarahkan tutup bermula esok hingga Jumaat berikutan cuaca berjerebu yang dijangka berterusan sehingga minggu depan. - Foto BERNAMA
SEMUA sekolah awam dan swasta di Selangor diarahkan tutup bermula esok hingga Jumaat berikutan cuaca berjerebu yang dijangka berterusan sehingga minggu depan. - Foto BERNAMA

Semua sekolah di Selangor diarah tutup esok dan Jumaat

SHAH ALAM: Semua sekolah awam dan swasta di negeri ini diarahkan tutup bermula esok hingga Jumaat berikutan cuaca berjerebu yang dijangka berterusan sehingga minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, dalam satu kenyataan media, petang ini, berkata arahan itu dikeluarkan selepas mengambil kira tahap pendedahan yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah sistem respiratori dan keselamatan pelajar.

Katanya, justeru, Jabatan Pendidikan Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) hendaklah memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing mengenai arahan penutupan itu dengan segera.

“Berikutan cuaca jerebu yang sedang berlaku di semua daerah dalam Selangor dan berdasarkan kepada kenyataan media Jabatan Meteorologi Malaysia pada 17 September, yang memaklumkan bahawa keadaan jerebu ini akan berterusan sehingga minggu hadapan, didapati semua stesen pemantauan kualiti udara menunjukkan bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Selangor dengan ini mengarahkan semua sekolah awam dan swasta di dalam Selangor ditutup bagi sesi persekolahan mulai 19 September (Khamis) sehingga 20 September (Jumaat).

“Pendedahan terhadap jerebu yang berpanjangan akan meningkatkan risiko terhadap kesihatan, terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru serta wanita mengandung,” katanya.

Mohd Amin yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, berkata, penutupan sementara sekolah akibat cuaca jerebu itu untuk memastikan tahap kesihatan murid tidak terjejas.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Selangor sentiasa memantau perkembangan kualiti udara dan sentiasa berhubung dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkaitan tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil ketika cuaca negara sedang dilanda bencana jerebu.

Sementara itu, laman sesawang Indeks Pencemaran Udara (IPU) Malaysia menunjukkan empat stesen di Selangor mencatatkan bacaan 200 ke atas dengan Johan Setia pada paras 259.

Ia diikuti dengan bacaan 218 di Shah Alam, Petaling Jaya (207) dan Klang (200), manakala Kuala Selangor mencatatkan bacaan 194 dan Banting (183) setakat jam 5 petang tadi.

Berita Harian X