Rabu, 18 September 2019 | 9:10pm
PEMBANTU Menteri Kewangan negeri, Sarifuddin Hata merasmikan Persidangan Ekonomi Antarabangsa (ICE) Kedua anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Edmund Samunting

Pastikan tiada terpinggir dalam kemajuan ekonomi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong strategi pembangunan mampan yang menekankan dasar memastikan tiada rakyat terpinggir dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata strategi berkenaan sejajar dengan pelaksanaan model baharu pembangunan ekonomi, berkonsep berkongsi kemakmuran yang digariskan kerajaan.

“Bagi mencapai aspirasi nasional, Malaysia perlu mempunyai strategi untuk mengurus dan mengekalkan bakat terbaik sumber manusia dalam kalangan mereka yang berkualiti dan berintegriti.

“Strategi penting bagi mencapai sasaran ini ialah dengan menggabungkan dasar memastikan tiada yang tertinggal di belakang. Strategi ini selari dengan model baharu pembangunan kerajaan, iaitu berkongsi kemakmuran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena perasmian Persidangan Ekonomi Antarabangsa (ICE) Kedua anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang disampaikan Pembantu Menteri Kewangan negeri, Sarifuddin Hata, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Dr Raman Noordin dan Pengerusi ICE 2019, Dr Sarma Mohd Imran Aralas.

Mohd Shafie berkata, tumpuan pembangunan ekonomi menerusi sumber dan teknologi baharu seperti pendigitalan ekonomi dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) akan membantu membangunkan lagi ekonomi dan menjana pendapatan.

“Sangat mustahak bagi Malaysia untuk mengamalkan pembangunan mampan dalam usaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Satu cara untuk untuk mencapai pembangunan mampan ialah menerusi inovasi.

“Malaysia menekankan penggunaan teknologi hijau bagi meminimumkan ancaman terhadap alam sekitar dan pada masa sama, menggalak dan memelihara alam sekitar untuk kepentingan semua hidupan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha itu bukan hanya tanggungjawab kerajaan, malah perlu membabitkan masyarakat secara keseluruhan menerusi kerjasama peringkat tempatan, nasional, wilayah dan global.

Sementara itu, persidangan berkenaan yang berlangsung sehingga hari ini mengumpulkan seramai 150 peserta termasuk dari Korea Selatan, Indonesia, Bangladesh, Nigeria dan Jepun.

Berita Harian X