Rabu, 18 September 2019 | 11:41pm
SERAMAI 15 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menjalani program pemulihan fizikal di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan kek gergasi bagi meraikan sambutan Hari Malaysia 2019.

Pusat Rehabilitasi PERKESO rai Hari Malaysia dengan kek gergasi

MELAKA: Seramai 15 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menjalani program pemulihan fizikal di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, dekat sini, mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan kek gergasi bagi meraikan sambutan Hari Malaysia 2019.

Diketuai jurupulih vokasional, Muhammad Adeeb Ahmad, kek adunan oren dan mentega berukuran 6 kaki panjang dan 2 kaki lebar itu dihasilkan dalam bentuk replika bendera kebangsaan, sempena sambutan kemerdekaan negara ke-62, baru-baru ini.

Kek berkenaan dihasilkan di Bengkel Bakeri dan Pastri di bawah Jabatan Vokasional Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak.

Kira-kira 250 pencarum PERKESO yang menjalani pemulihan serta kakitangan pusat itu berkumpul untuk meraikan sambutan, termasuk memotong kek sambil dimeriahkan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu patriotik, Setia.

Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Dr Hafez Hussain yang turut hadir, berkata sambutan itu juga untuk meningkatkan kemesraan dalam kalangan pencarum PERKESO yang menjalani pemilihan di pusat itu serta kakitangannya.

“Majlis ini turut bertujuan menanam semangat patriotisme dalam kalangan pencarum PERKESO yang menjalani pemulihan di sini serta kakitangan dari pelbagai bangsa dan agama.

“Sambutan ini juga selari dengan motto pusat ini, ‘We Are Rehab’ yang mempromosi rasa memiliki dalam kalangan pencarum PERKESO yang sedang menjalani pemilihan di sini serta kakitangan kami,” katanya berucap pada majlis terbabit.

Pusat Rehabilitasi PERKESO menyediakan program pemulihan holistik secara integrasi yang efektif kepada pencarumnya yang mengalami kekurangan daya fizikal atau kehilangan upaya.

Ia peneraju utama program pemulihan perubatan yang membabitkan fisioterapi, terapi cara kerja, terapi hidro, terapi pertuturan dan latihan pemulihan secara vokasional dengan tujuan mengembalikan semula pesakit ke alam pekerjaan.

Pusat berkenaan yang dimiliki dan diuruskan oleh PERKESO, terbuka kepada semua pencarum pertubuhan itu yang layak tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Jabatan Vokasional melatih kumpulan sasar dalam bidang reka bentuk grafik; kemahiran komputer, elektrik dan elektronik; bakeri dan pastri, selain jahitan dan bidang hospitaliti.

Pencarum PERKESO yang cedera atau menghidapi penyakit dibantu untuk dipulihkan, dilatih dan diberi kemahiran baharu bagi memudahkan mereka kembali ke dalam pasaran kerja dengan cepat, sihat dan selamat.

Pusat berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan pencarum ke pasaran kerja secara fizikal, tetapi juga keutamaan kepada integrasi sosial menerusi pelbagai aktiviti secara bersama seperti sambutan perayaan, sukan dan aktiviti santai di luar.

Berita Harian X