Khamis, 19 September 2019 | 9:07pm
Mohd Shafie (kanan) bersama Mohamaddin merasmikan pelancaran Kempen Domestik - Cuti-Cuti Malaysia ‘Best of Sabah Holiday Packages 2019/2020’ Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di KKIA, Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Percepatkan kerja naik taraf Lapangan Terbang Tawau, Lahad Datu

KOTA KINABALU: Kerja naik taraf kemudahan Lapangan Terbang Tawau dan Lahad Datu akan dipercepatkan bagi menampung keperluan penumpang yang semakin bertambah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata bilangan penumpang menggunakan kedua-dua lapangan terbang berkenaan melebihi kapasiti, menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan mereka, khususnya pelancong luar.

“Saya sudah bertemu dan berbincang mengenai perkara itu dengan Malaysia Airport Berhad (MAHB). Kita tahu prasarana dan kemudahan ini (lapangan terbang yang selesa) perkara yang cukup penting, khususnya dalam sektor pelancongan.

“Kalau kita melabur untuk mempertingkatkan kemudahan seperti di lapangan terbang, kita boleh boleh mendapat pulangan dalam jangka masa yang cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Kempen Domestik - Cuti-Cuti Malaysia ‘Best of Sabah Holiday Packages 2019/2020’ Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

Mohd Shafie berkata, penyediaan kemudahan yang baik dapat meningkatkan jumlah pelancong sekali gus memberi pulangan kepada pendapatan negara.

“Kita juga tahu ibu negara Indonesia bakal dipindahkan ke Kalimantan Utara dan dalam jangka lima tahun lagi sudah tentu kawasan berkenaan banyak pembangunan.

“Oleh itu, kita perlu bersedia menerima lebih banyak pelancong dengan mempertingkatkan kemudahan,” katanya sambil mengakui lapangan terbang turut penting untuk menarik pelaburan luar.

Mengulas mengenai Kempen Domestik - Cuti-Cuti Malaysia ‘Best of Sabah Holiday Packages 2019/2020’, Mohd Shafie berkata inisiatif berkenaan cukup baik untuk memastikan sektor pelancongan di negara ini, khususnya di Sabah berkembang.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, pelancaran kempen berkenaan menyasarkan pertumbuhan positif sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan seramai 78.2 juta pelancong domestik direkodkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu iaitu pertumbuhan sebanyak 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, bagi kadar itu, perbelanjaan pelancongan domestik pula merekodkan pertumbuhan 11.7 peratus tahun lalu dengan nilai keseluruhan RM60.4 bilion.

"Bagi mencapai sasaran itu, kementerian mengalu-alukan sokongan semua penggiat industri pelancongan di Sabah untuk bersama-sama memajukan sektor pelancongan di negeri ini.

"Ini adalah usaha bersama bagi mempelbagaikan lagi pakej kreatif yang mampu mempromosikan negeri Sabah di peringkat domestik seterusnya menarik potensi pelancongan luar negara," katanya.

Berita Harian X