Sabtu, 21 September 2019 | 2:09pm
PENGHASILAN cili bara fertigasi tanpa tanah. - Foto Nazri Abu Bakar
PENGHASILAN cili bara fertigasi tanpa tanah. - Foto Nazri Abu Bakar

Cili bara tanpa tanah tarik minat anak muda

MELAKA: Dalam usaha menambah pendapatan harian, seramai 25 anak muda menyertai kursus tanaman cili bara secara fertigasi di Masjid Raudatul Jannah, Bukit Katil.

Program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bukit Bayan dengan kerjasama MARDI Negeri Melaka terbabit turut mendedahkan peserta dengan teknik berkaitan proses awal sehingga pengeluaran hasil.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bukit Katil, Datuk Bakrin Sidek dan turut hadir, Pengarah MARDI Negeri Melaka, Saniah Kormin.

Pengerusi MPKK Kampung Bukit Bayan, Abd Rahman Muhammad, berkata pemilihan tanaman cili bara berikutan pasaran yang luas, permintaan tinggi dan harga menarik.

Katanya, teknik fertigasi tanpa menggunakan tanah juga menjimatkan ruang dan boleh diusahakan termasuk di taman perumahan dan kediaman tanpa modal yang besar.

“Malah hasil boleh dikutip selepas tujuh minggu dan setiap pokok mampu mengeluarkan hasil sehingga 24 minggu (enam bulan).

“Harga sehingga RM15 sekilo di pasaran juga mampu menambahkan pendapatan sampingan selain untuk kegunaan penduduk setempat, keluarga dan individu,” katanya.

Beliau berkata, peserta turut diberi pendedahan berkaitan teori dan praktikal yang amat bermanfaat untuk dimulakan di rumah sendiri.

Penduduk, Minhat Abd Rahman, berkata kejayaan seorang peserta yang kini memiliki 5,000 polybag dengan keluasan kira-kira 0.4 hektar menjadi pemangkin kepada minat yang lebih besar.

Katanya, ia mampu menghasilkan 50 kilogram sehari yang dipasarkan di bandaraya Melaka dan negeri berhampiran termasuk Johor dan Negeri Sembilan.

Berita Harian X