Sabtu, 21 September 2019 | 2:49pm
GUDANG tanpa nombor diserbu Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak selepas gudang tersebut jadikan tempat menyembunyikan minuman keras dan rokok seludup sebagai usaha mengelirukan anggota penguatkuasa. - Foto Ihsan Polis Marin

Gudang rokok, arak seludup diserbu

MIRI: Sebuah gudang di Jalan Kuala Baram, Senadin, di sini yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan rokok dan arak seludup diserbu Pasukan Polis Marin (PPM), Khamis lalu.

Serbuan kira-kira jam 8.30 pagi itu membawa kepada penemuan 720 kotak mengandungi arak dan 1,763 bungkusan rokok pelbagai jenis dipercayai untuk diedarkan untuk pasaran setempat.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim, berkata serbuan berkenaan adalah sebahagian daripada operasi khas, Ops Landai, khusus bagi mengekang kegiatan penyeludupan di bandar raya ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua minuman keras dan rokok itu dipercayai tiada cukai kastam, dengan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM549,192.

“Serbuan itu susulan operasi risikan dan intipan di kawasan gudang berkenaan sejak seminggu lalu, bertindak atas aduan awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, tiada pekerja di premis berkenaan selepas dipercayai melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Berita Harian X