Rabu, 25 September 2019 | 12:27pm
PELAJAR pendidikan khas masalah pembelajaran dan sindrom down Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar menanam pokok di Kampung Serandu, Pekan. - Foto Mohd Rafi Mamat
PELAJAR pendidikan khas masalah pembelajaran dan sindrom down Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar menanam pokok di Kampung Serandu, Pekan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pelajar istimewa sertai program tanam pokok

PEKAN: Seramai 20 pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran dan sindrom down Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar, di sini diberi peluang menanam 530 pokok ru pantai dan kelapa pandan di Kampung Serandu, di sini semalam.

Program tanaman pesisir pantai itu dianjurkan Bahagian Pembangunan Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan kerjasama Kelab Lions dan penduduk setempat disertai lebih 150 peserta.

Pengetua SMK Indera Shahbandar, Abd Rahman Sulong, berkata program yang diadakan memberi pendedahan kepada pelajar cara menanam pokok seterusnya dapat bergaul dengan masyarakat setempat.

Katanya, aktiviti luar kelas penting kepada pelajar pendidikan khas supaya mereka lebih cergas dan berfikir sebaliknya tidak hanya berada dalam kelas sahaja.

“Saya lihat semua pelajar yang menyertai aktiviti menanam pokok begitu teruja, mereka dibantu kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang menyediakan lubang tanaman mengikut jarak ditetapkan.

“Saya berharap lebih banyak program membabitkan pelajar pendidikan khas seperti ini dapat diadakan pada masa akan datang,” katanya pada program Kempen Kesedaran Tanaman Pesisir Pantai yang disempurnakan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan), Rosilan Said di Kampung Serandu, di sini semalam.

Pelajar Muhamad Faizzudin Shah Mohd Raduan, 16, berkata ini kali kedua dirinya berpeluang menyertai program menanam pokok pesisir pantai membabitkan tanaman ru.

“Saya berpeluang menanam lima pokok ru sambil dibantu kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, memasukkan pokok ke dalam lubang yang disediakan kemudian timbus dengan tanah.

“Saya berharap lebih banyak program menanam pokok pesisir pantai dapat diadakan selepas ini,” katanya yang meminati bidang pertanian.

Katanya, apabila pokok yang ditanam ini besar ia akan menjadi daya tarikan pelancong untuk datang berehat sambil berkelah bersama keluarga.

Sementara itu Rosilan berkata, aktiviti menanam pokok pesisir pantai di daerah ini, Kuantan dan Rompin dilakukan sepanjang tahun membabitkan pokok ru pantai, kelapa
pandan, ketapang dan bintangau laut.

“Tujuan utama projek tanaman pesisir pantai ialah bertujuan mengawal kejadian hakisan selain menjadi teduhan kawasan perkelahan,” katanya.

Berita Harian X