Rabu, 25 September 2019 | 2:14pm
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Khirudin Drahman berkata sesuatu kepada petugas operasi, di Pos Kawalan Bomba di kawasan Jalan Kejatau/Lingga, Sri Aman. - Foto Joshua Eric

Bomba Sarawak cadang bayaran khas padam kebakaran hutan, belukar

SRI AMAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mencadangkan agar bayaran khidmat khas dikenakan terhadap mana-mana pemilik tanah yang didapati sengaja melakukan pembakaran terbuka di tanah mereka.

Pengarahnya, Khirudin Drahman, berkata cadangan itu adalah wajar bagi mengelak berulangnya insiden kebakaran tanah gambut dan hutan belukar di beberapa lokasi di Sarawak sebelum ini.

“Melalui khidmat khas berkenaan, pemilik tanah dikehendaki menanggung segala kos berkaitan operasi meadamkan kebakaran di kawasan tanah milik mereka, termasuk kos minyak aset jentera digunakan.

“Kita sengaja mencadangkan perkara itu bertujuan mendidik pemilik tanah di negeri ini agar lebih bertanggungjawab ketika mengurus dan mengawal aktiviti di tanah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau operasi memadam kebakaran di Pos Kawalan Bomba (PKB) Jalan Kejatau/Lingga, di sini hari ini.

Operasi memadam kebakaran itu memasuki hari kesembilan dan membabitkan 71 anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, cadangan itu juga mampu mengurangkan kerugian ditanggung pihak bomba atau pemilik tanah sekiranya berlaku kejadian kebakaran di kawasan berkenaan.

“Ini juga boleh mengurangkan risiko masalah kesihatan dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kebakaran. Bagaimanapun, cadangan itu perlu dikaji terlebih dulu, terutama dari segi perundangan JBPM, Jabatan Alam Sekitar atau Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum boleh dilaksanakan.

“Justeru, menjadi harapan kita agar cadangan ini dapat dilaksanakan bagi memastikan usaha agensi berkaitan bertungkus lumus memadam kebakaran hutan seperti yang berlaku sekarang tidak sia-sia,” katanya.

Sementara itu, beberapa aset tambahan turut digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi memadam kebakaran yang sehingga kini mencecah keluasan empat hektar.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menghantar pesawat Bombardier bagi melakukan pemantauan dari udara, selain melakukan operasi pengeboman air di lokasi kebakaran.

Berita Harian X