Rabu, 25 September 2019 | 5:28pm
Pegawai JPJ melelong kenderaan kepada pembida pada Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita anjuran JPJ Perak. - NSTP/Abdullah Yusof
Pembida, Fhaizul Ahmad Mohammed Hussein, 35, (kanan) melihat buku lelong pada Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita, di Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof

JPJ Perak kutip lebih RM1.32 juta lelong kenderaan sita

IPOH: Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak hari ini berjaya mengumpul hasil jualan lebih RM1.32 juta.

Ia tidak termasuk hasil kutipan buku lelong sebanyak RM19,810 sejak ia mula dijual bermula 10 Mac hingga semalam.

Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah, berkata semua 103 kenderaan sita yang dilelong kepada orang ramai habis dibida dalam tempoh tujuh jam bermula sejak jam 9 pagi tadi.

Katanya, daripada 103 kenderaan sita itu, terdapat 90 kenderaan boleh dilesenkan manakala 13 lagi tidak boleh didaftarkan iaitu menjadi barang lusuh.

“Keseluruhannya terdapat 105 kenderaan sita yang dilelong hari ini dan daripada jumlah itu hanya dua kereta saja tidak dapat dijual berikutan harga ditawarkan terlalu rendah, di bawah harga pasaran.

“Bidaan tertinggi pada majlis ini adalah kereta jenis Honda Integra yang dibida pada harga RM35,000.


Bidaan harga kenderaan lelong pada Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita. - NSTP/Abdullah Yusof

Antara kenderaan yang dilelong pada Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita. - NSTP/Abdullah Yusof

“Sementara, kutipan bidaan terendah adalah kesemua motosikal kategori `scrap’ atau barang lusuh yang dibida pada harga RM50 sebuah,” katanya kepada pemberita selepas program lelongan berkenaan di JPJ Negeri Perak, Jalan Kompleks Sukan di sini.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 81 kereta, 20 motosikal, tiga van dan sebuah lori yang dilelong pada program berkenaan.

“Program lelongan diadakan dua kali setahun. Jadi, ini adalah program bidaan yang kedua diadakan pada tahun ini selepas program pertama pada 30 April lalu,” katanya.

Pada majlis berkenaan, wakil pemerhati daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir bagi memantau proses lelongan.

Berita Harian X