Selasa, 1 Oktober 2019 | 7:54am

Anak lembu berkepala dua, kaki lima

KUANTAN: Seorang penternak lembu seolah-olah tidak percaya apabila melihat haiwan ternakannya melahirkan seekor anak jantan berkepala dua dan berkaki lima di Kampung Seri Damai, di sini semalam.

Pemiliknya Aziz Abdullah, 66, berkata lembu betinanya menunjukkan tanda ingin melahirkan anak sejak jam 9 pagi ketika di padang ragut namun hanya enam jam kemudian dapat melahirkan selepas dibantu empat pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang serta penduduk kampung.

Bagaimanapun, anak lembu seberat 30 kilogram itu mati sebaik dilahirkan, dipercayai lemas dalam kandungan.

“Selepas lebih 20 tahun menternak lembu, ini kali pertama saya menyaksikan perkara yang agak aneh sehingga menarik perhatian penduduk setempat.

“Lembu betina terbabit sudah melahirkan sepuluh anak namun anak ke-11 ini berkepala dua dan berkaki lima,” katanya di sini semalam.

ANAK lembu jantan dilahirkan berkepala dua dan berkaki lima di Kampung Seri Damai, Kuantan. - Foto Mohd Rafi Mamat

Sementara itu, Mariani Aziz, 32, yang membantu bapanya di ladang itu berkata, dia dan penduduk kampung beberapa kali cuba membantu lembu itu melahirkan anaknya tetapi tidak berjaya sehinggalah pegawai JPV datang membantu.

“Pegawai perubatan JPV memberi suntikan sebelum menarik keluar anak lembu yang ketika itu sudah mati,” katanya.

Penduduk setempat tidak melepaskan peluang melihat anak lembu berkepala dua dan berkaki lima di Kampung Seri Damai, Kuantan. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Berita Harian X