Selasa, 1 Oktober 2019 | 2:49pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (tiga dari kiri) bersalaman dengan Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani (empat dari kiri) ketika mengadakan perjumpaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Perak bakal jadi hab tanaman buluh negara

IPOH: Perak bakal menjadi hab tanaman buluh negara melalui kerjasama bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang akan membantu menghasilkan benih buluh bermutu tinggi melalui kaedah tisu kultur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata melalui kerjasama itu Perak akan dibimbing MITB daripada segi penanaman, pemasaran, kaedah semaian dan penyelidikan dengan menjadikan negeri itu sebagai tapak semaian beberapa jenis baka buluh yang terpilih.

"Pengumuman berhubung cadangan menjadikan Perak sebagai hab tanaman buluh negara itu akan diumumkan sendiri oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang akan datang ke Perak pada 13 Oktober ini yang akan melancarkan sambutan Hari Buluh Sedunia di sini.

"Menteri akan mengumumkan beberapa perkara yang jauh lebih besar khususnya mengenai potensi industri buluh dan kayu," katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama MTIB di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Sayed Shariffuddin Sayed Shamshuddin.

Mohammad Nizar berkata, industri tanaman buluh sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar dan sudah jauh berkembang di beberapa negara dan teknologi mereka sudah jauh ke hadapan berbanding Malaysia yang masih agak ketinggalan.

Katanya, untuk itu Perak mengalu-alukan apa sahaja usaha termasuk kaedah dan teknologi baharu untuk memajukan industri berkenaan supaya ia dapat dikembangkan dengan baik di Perak.

Sementara itu, Mohd Kheiruddin berkata, MTIB mengalu-alukan hasrat dan kesediaan Perak dalam menjadi peneraju dan menjadi hab tanaman buluh negara serta menjadi contoh kepada negeri lain dalam mempelopori industri tanaman buluh di negara ini.

Mengenai penubuhan tapak semaian buluh yang dirancang dibangunkan di negeri ini, beliau berkata ia akan dilaksanakan di atas sebidang tanah seluas kira-kira 1.6 hektar milik MTIB di tapak perindustrian perabot Perak yang terletak di Lahat.

"Jika peruntukan pada pembentangan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan ada (mengenai pembangunan industri buluh) maka kita akan laksanakan dan akan bangunkan kawasan berkenaan sebagai tapak semaian.

"Buluh matang dalam tempoh tiga tahun dan dalam tempoh berkenaan, rebung buluh yang dikeluarkan juga boleh memberikan hasil dan nilai tambah selain daun buluh yang ketika ini sudah boleh diolah untuk penghasilan teh," katanya.

Sementara itu, Mohd Kheiruddin berkata, ketika ini terdapat 20 jenis buluh yang berpotensi tinggi digunakan dalam industri pembinaan dengan empat daripadanya terdapat di Malaysia iaitu buluh betong, buluh beting, buluh minyak dan buluh duri yang mempunyai nilai komersial yang cukup tinggi dan boleh ditanam secara meluas di negara ini kerana faktor tanah dan iklim yang sangat sesuai.

Berita Harian X