Rabu, 2 Oktober 2019 | 2:43pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg. - Foto L Manimaran

RMK-12: Sarawak tumpu empat sektor

MUKAH: Sektor pelancongan, pertanian moden, pendidikan dan pembangunan infrastruktur menjadi fokus utama kerajaan Sarawak untuk dibangunkan secara agresif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata ketika ini kerajaan Sarawak sudah menyusun rancangan dalam setiap sektor itu untuk dilaksanakan sebaik RMK-12 bermula.

Beliau yakin, dengan penekanan terhadap empat sektor utama itu, Sarawak mampu mencapai matlamat muncul sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Sektor pelancongan dan perkhidmatan akan diberi peruntukan lebih tinggi di bawah dasar ekonomi digital dalam RMK-12.

“Pada masa yang sama, kita memberi perhatian utama kepada pembangunan pertanian moden dan infrastrukturnya, kemudahan jalan raya, bekalan air dan jambatan serta pendidikan dengan fokus kepada aspek latihan,” katanya di sini, malam tadi.

Bagi memastikan setiap rancangan mencapai matlamat, Abang Johari berkata, kerajaan juga sedang berusaha menyediakan jaringan internet 5G selaras dengan dasar ekonomi digital.

“Menjelang 2021, Sarawak akan mempunyai kemudahan capaian internet dengan kelajuan 5G selaras dengan dasar ekonomi digital kita yang menyediakan landasan terbaik untuk generasi masa depan Sarawak,” katanya.

Berita Harian X