Khamis, 3 Oktober 2019 | 2:46pm
ANGGOTA bomba memadam kebakaran tempat pelupusan sampah haram di lokasi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang. - Foto Zain Ahmed
ANGGOTA bomba memadam kebakaran tempat pelupusan sampah haram di lokasi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang. - Foto Zain Ahmed

Pindah lokasi peperiksaan jika kebakaran semakin buruk

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor tidak menolak kemungkinan memindahkan lokasi peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 di sini, jika kebakaran tempat pelupusan sampah haram di lokasi berhampiran semakin teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan, berkata ia bagi membolehkan murid terutama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan itu pada 14 Oktober ini dapat menjawab soalan dengan tenang.

Ketika ini, katanya, bau asap masih dapat dihidu 836 murid sekolah berkenaan serta Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 2 berikutan kerja pemadaman di tapak pelupusan sampah haram itu masih giat dijalankan.

“Jika (kebakaran) tidak boleh dikawal, kita terpaksa buat pemindahan (lokasi peperiksaan). Di Pontian tempoh hari, kita pindahkan murid ke sekolah lain bagi membolehkan mereka menjawab peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang kacau ganggu.

“Di sini (SMK Seri Kota Puteri 2), seramai 124 murid bakal menghadapi SPM. Saya difahamkan hanya tinggal 30 peratus sahaja lagi kawasan terjejas hendak dipadamkan,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas melawat SMK Seri Kota Puteri 2 hari ini, Aminolhuda berkata, kawasan yang mengalami kebakaran di tapak seluas 2.4 hektar itu adalah kira-kira 1.21 hektar.

“Isu ini sangat menyedihkan kerana aktiviti pelupusan sampah haram sudah lama di sini. Perkara ini tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak bertanggungjawab.

“Saya minta semua pihak termasuk kakitangan kerajaan yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan alam sekitar dan berkaitan pelupusan bahan terbuang untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Difahamkan, kebakaran di tapak pelupusan sampah haram bersebelahan SMK Seri Kota Puteri 2 itu mula dikesan pada awal bulan lalu.

Berita Harian X