Sabtu, 5 Oktober 2019 | 8:20pm
AHMAD Danial Ahmad Suhairi yang menghidap kanser otak DIPG dibawa menaiki jentera bomba oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bersia-siar di sekitar Beserah. Ahmad Danial, 7 menyimpan cita-citanya untuk menjadi seorang ahli bomba. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Pengarah Bomba Pahang tunai impian penghidap kanser otak

KUANTAN: Hasrat seorang kanak-kanak penghidap kanser otak, Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) tahap empat yang ingin menaiki jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tercapai setelah dibawa menaiki kenderaan yang dipandu sendiri Pengarah JBPM Pahang di sini, hari ini.

Meskipun lumpuh seluruh badan dan tidak boleh bercakap, namun, Ahmad Danial Ahmad Suhairi, 7, yang lengkap dipakaikan uniform JBPM dibawa bersiar-siar sekitar Beserah di sini, selama kira-kira 10 minit.

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohammad, berkata hasrat kanak-kanak itu disuarakan oleh Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (PESONA) yang mahu menunaikan impian Ahmad Danial yang bercita-cita menjadi anggota Bomba.

“Apabila saya didekati oleh PESONA untuk mengadakan program ini, kenapa tidak kita buat dan perlu dilakukan secepat mungkin sebab kita tidak tahu bila akan dapat peluang ini.

“Kita faham perasaan yang dilalui oleh ibu bapa kanak-kanak ini dan kita mahu berkongsi kesedihan mereka,” katanya pada sidang media selepas membawa Ahmad Danial bersiar-siar di sini.

Katanya, beliau sendiri menawarkan diri untuk memandu jentera terbabit kerana ingin memberikan penghormatan kepada pelajar Sekolah Rendah Agama Al-Irsyad itu.

“Sama ada dia tahu ataupun tidak, itu bukan persoalannya. Yang penting, setiap saat dan minit itu dapat menggembirakannya,” katanya.


AHMAD Danial Ahmad Suhairi yang menghidap kanser otak DIPG dibawa menaiki jentera bomba oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bersia-siar di sekitar Beserah. Ahmad Danial, 7 menyimpan cita-citanya untuk menjadi seorang ahli bomba. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Sementara itu, bapa kepada Ahmad Danial, Ahmad Suhairi Ali, 33, berkata penderitaan yang dihidapi anaknya itu dikesan sejak Mac tahun ini selepas melihat mata anaknya menjadi juling.

“Sebelum ini, dia pernah cakap cita-cita dia nak jadi anggota Bomba. Sebab itu hasratnya saya suarakan kepada PESONA.

“Mulanya saya sangka dia juling. Tetapi, selepas hari ke hari kesihatan dia makin merosot, saya bawa ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa (HUIA) sebelum disahkan doktor ada tumor di otak,” katanya.

Ahmad Suhairi berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu kini hanya terlantar di rumah sejak Mei lalu dan bergantung kepada rawatan dan ubat-ubatan hospital.

“Sebelum ini, dia ada seorang abang, tetapi, sudah meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Kami sebagai ibu bapa cuba berikan yang terbaik dan berusaha sedaya upaya untuk merawat dia walaupun kita tahu keadaannya mungkin tidak boleh sembuh,” katanya.

Difahamkan, Ahmad Danial tidak menjalani sebarang bentuk rawatan seperti kimoterapi atau radioterapi dan berada dalam keadaan paliatif.

Berita Harian X