Ahad, 6 Oktober 2019 | 3:24pm
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Dr Rafiq Idris.

Kerajaan perlu pertimbang jalan raya hubungkan Kalimantan

KOTA KINABALU: Kerajaan harus mempertimbang cadangan membina jalan raya menghubungkan negeri ini dengan Kalimantan bagi meningkatkan aktviti perdagangan rentas sempadan.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Rafiq Idris, berkata sekarang masa yang sesuai untuk memberi perhatian kepada cadangan itu sejajar langkah Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan.

Katanya, jika jalan perhubungan darat dalam keadaan baik, selain infrastruktur berkaitan sudah disiapkan, ditambah pelaksanaan dasar mesra perniagaan, perdagangan dua hala dengan Kalimantan pasti berkembang.

“Justifikasinya jelas, pendapatan per kapita di Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur lebih tinggi berbanding Sabah. Saiz pasarannya lebih besar dan ditambah lagi dengan pengumuman dibuat kerajaan Indonesia mengenai pemindahan ibu kotanya ke Kalimantan Timur.

“Jadi, sekarang masanya untuk menimbangkan cadangan perhubungan jalan raya menghubungkan Sabah dan Kalimantan,” katanya pada sesi perbincangan khas mengenai perdagangan rentas sempadan sempena Forum Pelabuhan Sabah Kedua, di sini, baru-baru ini.

Katanya, beliau optimis dengan langkah proaktif yang bakal diambil kerajaan negeri bagi mengukuhkan kerjasama hubungan Sabah dengan Kalimantan, sejajar lawatan kerja ke wilayah itu yang diketuai sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini.

“Kita berharap kompleks kastam, imigresen dan kuarantin yang lengkap bersama dengan infrastruktur lain dan pejabat dapat dibina dan disediakan di lokasi strategik bagi memudahkan proses perdagangan rentas sempadan.

“Selain itu, ia juga penting bagi mendorong aktiviti ekonomi di kawasan sempadan Sabah dan Kalimantan,” katanya.

Sabah bersempadan dengan wilayah Kalimantan Utara bermula dari Tawau dan Kalabakan di pantai timur ke Pensiangan, Tenom dan Sipitang di pedalaman.

Bagaimanapun, ketika ini belum ada jalan raya menghubungkan negeri ini dengan wilayah berkenaan dan orang awam bergantung kepada perhubungan laut dan sungai, selain pengangkutan udara.

Sebelum ini, satu cadangan membina jalan raya menghubungkan Sabah dengan Kalimantan pernah dikemukakan iaitu di Serudong, Tawau dengan Simanggaris di wilayah Kalimantan Utara.

Berita Harian X