Ahad, 6 Oktober 2019 | 4:28pm
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid (kanan) beramah mesra dengan peserta pada Majlis Penutup Karnival Sukan dan Kebudayaan Orang Asli Negeri Pahang 2019 di di Kompleks Sukan UMP, Gambang. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Orang Asli harap ada dana infrastruktur dalam Belanjawan 2020

KUANTAN: Masyarakat Orang Asli mengharapkan peruntukan khas untuk pembangunan infrastruktur sekitar kediaman mereka dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid, berkata pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan dana khusus untuk kemudahan asas seperti jalan, air dan elektrik di kampung atau pos Orang Asli.

“Komuniti Orang Asli harus diberikan perhatian dan lebih peluang dalam belanjawan kali ini. Mereka tidak minta peruntukan yang besar. Cuma mengharapkan akan ada kemudahan jalan yang baik, air dan elektrik.

“Soal pembangunan seperti perumahan itu, mungkin boleh dikemudiankan. Tetapi, kemudahan asas ini sangat penting. Kalau ada perkara penting seperti ini, masyarakat Orang Asli boleh bekerja dalam bidang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Karnival Sukan dan Kebudayaan Orang Asli Pahang di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.

Isa berkata, kemudahan infrastruktur yang baik akan membantu meningkat sosioekonomi masyarakat itu yang bergantung kepada hasil hutan.

“Sebagai contoh kemudahan jalan di Pos Sinderut, Kuala Lipis, banyak membantu ekonomi masyarakat Orang Asli apabila hasil hutan seperti pisang yang sebelum ini dijual 50 sen, meningkat kepada RM2,” katanya.

Ditanya mengenai penganjuran kali ketiga karnival itu, beliau berkata, karnival itu dapat meningkatkan perkembangan sukan dalam masyarakat Orang Asli, di samping mengetengah budaya Orang Asli kepada masyarakat luar.

Isa berkata, dalam cabaran dunia hari ini, masyarakat Orang Asli perlu bersedia mendepani perubahan dan merebut peluang yang disediakan kerajaan.

“Kerajaan mahu melihat ada daya saing dalam masyarakat dan Orang Asli tidak boleh lagi ketinggalan. Paling penting dalam pembangunan sukan. Saya sering mengingatkan golongan belia Orang Asli bahawa cabaran hari ini agak sengit dan mereka perlu bersedia dengan perubahan seperti kemahiran belia.

“Tambahan pula dengan inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang diumumkan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) semalam, harus diagihkan merentasi setiap kaum dan agama. Ini peluang yang perlu direbut masyarakat Orang Asli terutama golongan belia,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu itu disertai kira-kira 650 atlet Orang Asli dari 12 daerah di Pahang bagi merapatkan hubungan masyarakat Orang Asli serta mengeratkan perpaduan.

Berita Harian X