Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:25pm
Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng. - Foto Owee Ah Chun

Yayasan MRCB kumpul dana RM730,000 menerusi konsert amal

KUALA LUMPUR: Yayasan MRCB mengumpul dana RM730,000 menerusi konsert amal untuk membantu pelajar kurang bernasib baik dan golongan memerlukan dari kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang diadakan minggu lalu.

Lebih 700 tetamu menghadiri Konsert Amal Yannick Bovy celebrates 100 Years of Nat King Cole.

Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng, berkata pihaknya sentiasa berusaha mengenal pasti golongan memerlukan, selain memahami keperluan harian mereka.

Katanya, pihaknya akan terus memperbanyakkan aktiviti untuk membantu pelajar kurang bernasib baik.

“Yayasan MRCB sudah melaksanakan beberapa program secara progresif termasuk membaik pulih kemudahan sekolah, menyediakan bantuan pendidikan dan klinik bergerak kepada orang asli,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehingga kini, Yayasan MRCB menyumbangkan lebih RM1 juta untuk membantu pelajar dan komuniti kurang berkemampuan di seluruh negara.

Julai lalu, Yayasan MRCB membantu lebih 600 pelajar kurang bernasib baik menerusi penganjuran beberapa sesi bengkel persediaan bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di tujuh sekolah angkat di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Yayasan MRCB menyumbang mesin Braille kepada murid buta dan membaik pulih prasarana Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu di ibu negara yang membabitkan kos RM40,000.

Berita Harian X