Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:24pm
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (dua kiri) menyerahkan buku Manual Urusan Mendapatkan Permit Pembinaan (Manual DCP) bagi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kepada Pengarah Kawalan Bangunan MBI, Syahril Sapiran (kiri) selepas melancarkan pelaksanaan program Manual DCP berkenaan di Hotel Weil. - Foto Balqis Jazimah Zahari

MBI terbabit pelaksanaan fasa pertama program Manual DCP

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dipilih sebagai antara enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini terbabit pelaksanaan fasa pertama program Manual Urusan Mendapatkan Permit Pembinaan (DCP).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, berkata pelaksanaan Manual DCP diyakini dapat mempermudah serta mempercepatkan proses kelulusan permit pembinaan bagi projek berskala kecil bukan kediaman di kawasan bawah pentadbiran MBI.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kerajaan Tempatan bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), kerana memilih Perak untuk terbabit fasa pertama pelaksanaan program Manual DCP.

“Difahamkan, lima lagi PBT terbabit ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Bandaraya Shah Alam,” katanya ketika berucap melancarkan Manual DCP bagi MBI, di sini, hari ini.

Ahmad Suaidi berkata, penyediaan manual berkenaan membabitkan kajian semula terhadap peraturan dan proses kerja dalam memberi kelulusan pembangunan.

“Penyediaan manual itu bukan hanya membabitkan jabatan di MBI tetapi juga agensi teknikal lain seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Tenaga Nasional Berhad, Indah Water Konsortium dan sebagainya


Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (duduk lapan kanan) bergambar bersama wakil agensi selepas melancarkan Manual Urusan Mendapatkan Permit Pembinaan bagi MBI di Hotel Weil. - Foto Balqis Jazimah Zahari

“Penyelarasan antara jabatan dapat mempercepatkan proses kelulusan permit pembinaan dan prosedur dalam memberi kelulusan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod dalam portal KPKT, Perak menerima 5,754 permohonan pemajuan yang membabitkan kelulusan daripada PBT, termasuk 2,332 daripada MBI.

“Ia menunjukkan kawasan MBI adalah tumpuan pembangunan. Justeru, dengan adanya inisiatif Manual DCP MBI, saya berharap pembangunan Ipoh akan menjadi lebih pesat dan mencerminkan pembangunan Perak,” katanya.

Berita Harian X