Khamis, 10 Oktober 2019 | 2:49pm
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

SMATQ JAIM Pulau Besar pindah ke Alor Gajah

AYER KEROH: Kerajaan negeri memutuskan untuk memindahkan pengurusan dan warga Sekolah Menengah Agama dan Tahfiz al-Quran Jabatan Agama Islam Melaka (SMATQ JAIM), Pulau Besar ke Kompleks Al-Kawarizmi, Tanjung Bidara di Alor Gajah, mulai tahun depan.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata perkara itu diputuskan melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selepas mengambil kira beberapa faktor, malah menjenamakannya semula kepada Tahfiz Al-Abqari.

“Ini dilakukan kerana membabitkan pengurusan berkaitan keluarga, pelajar, mobiliti, logistik, dan keselamatan.

“Sesi persekolahan tahfiz ini akan bermula tahun depan, di bangunan kompleks berkenaan. Ia kerana, Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) akan berpindah ke bangunan sendiri berhampiran Masjid Saidina Ali, di Bukit Katil,” katanya pada sidang media mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai sebuah pusat madrasah di Bemban, Jasin dikaitkan dengan pelajarnya mendakwa dicabul dan hampir diliwat ketua tenaga pengajar, sejak setahun lalu, Adly berkata, perkara yang membabitkan jenayah akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Jika ada laporan, pihak kita akan menjalankan siasatan dan jika ia membabitkan jenayah, ia diserah kepada pihak berkuasa,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, suspek ketua tenaga pengajar berusia 20 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa bermula di sejak 2018 di asrama madrasah persendirian mempunyai 31 pelajar tahfiz lelaki berumur antara tujuh hingga 17 tahun.

Berita Harian X