Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:17pm
Datuk Amar Douglas Uggah Embas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Bilik Gerakan Negeri, di Wisma Bapa Malaysia, Kuching. - Ihsan JPBM

Siap sedia hadapi musim tengkujuh

PETRA JAYA: Seramai 14,970 anggota pelbagai agensi berkaitan, termasuk pasukan keselamatan dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi banjir berikutan musim tengkujuh yang diramalkan melanda negeri ini bermula November ini hingga Mac tahun depan.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata agensi terbabit ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dari segi keperluan logistik, katanya, sebanyak tiga helikopter, lima dron, 211 lori, 500 kenderaan pacuan empat roda, 291 bot dan 111 ambulans disediakan.

“Keseluruhannya, 622 pusat pemindahan yang mampu menempatkan seramai 195,825 orang mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

JPBN Sarawak mengadakan mesyuarat penyelarasan operasi banjir yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Bilik Gerakan Negeri, di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.

Bagi memudahkan pengagihan bantuan dengan segera, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan pangkalan hadapan di 16 kawasan iaitu dua di Kuching, Kapit (4), Bintulu (3) dan Miri (7).

Stor dan depot penyimpanan barang bantuan pula ditempatkan di Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuching, Samarahan dan Miri.

Musim tengkujuh dijangka menyebabkan hujan lebat antara 300 milimeter (mm) hingga 500 mm pada November hingga di Disember ini di Miri dan Bintulu, manakala di Sri Aman, Sarikei, Mukah dan Sibu pula dijangka menerima jumlah hujan di antara 400 mm hingga 550 mm pada Disember hingga Januari.

Kawasan Kuching, Samarahan dan Serian pula diramal menerima jumlah hujan antara 400 mm hingga 800 mm pada Januari hingga Februari.

Berita Harian X