Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:42pm
Jaujan (depan, tiga dari kanan) selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo 2019, di Kota Kinabalu, hari ini. - Ihsan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah

Sabah mahu perkenal, perluas konsep PBT Hijau

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berhasrat memperkenalkan pihak berkuasa tempatan hijau (PBT Hijau), dengan Tongod dan Nabawan menjadi daerah perintis, Januari depan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, berkata melalui inisiatif itu, pentadbiran kedua-dua daerah berkenaan akan berteraskan konsep hijau yang menekankan kepentingan alam sekitar.

“Kita akan membangunkan kedua-dua daerah itu kerana belum ada pembangunan pesat di sana, namun ia bukan hanya setakat pembangunan sahaja seperti pembinaan kedai. Sebaliknya, kita akan memastikan alam sekitar, flora dan fauna yang ada di kedua-dua daerah berkenaan tidak terjejas.

“Ia lebih kepada penjagaan alam sekitar yang akan dibentuk menjadi satu sumber dan daya tarikan, bukan saja untuk tatapan rakyat atau penduduk setempat, bahkan tarikan kepada pelancong dari luar untuk datang,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo 2019, di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.

Jaujan ketika mengulas lanjut, berkata kementeriannya juga akan memperkenalkan inisiatif itu ke semua PBT di negeri ini.

“Selepas Tongod dan Nabawan, kita akan memperluaskannya ke semua PBT di Sabah. Walaupun ada pembangunan komersial, tetapi kita mahu memastikan alam sekitar tidak terjejas. “Justeru, kita juga akan bekerjasama dengan pakar, jabatan dan agensi serta pihak swasta dalam usaha ini,” katanya.

Mengenai Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan esok, Jaujan berkata, kerajaan negeri berharap akan diberi kelebihan, terutama berkaitan pendidikan, kemudahan asas seperti jalan raya, air elektrik dan kesihatan.

“Kita berharap semua ini akan diberi kelebihan dalam Belanjawan 2020,” katanya.

Berita Harian X