Jumaat, 11 Oktober 2019 | 8:47pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditemui wartawan selepas pembentangan Belanjawan 2020 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Belanjawan 2020: Belanjawan beri banyak tumpuan kepada Sabah

KOTA KINABALU: Belanjawan 2020 memberi banyak tumpuan kepada Sabah, khususnya dalam aspek pembangunan luar bandar, infrastruktur dan pendidikan selain peningkatan peruntukan khas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menjelaskan peruntukan RM5.2 bilion yang diterima Sabah untuk semua aspek itu mewakili kira-kira 17 peratus daripada keseluruhan belanjawan negara tahun depan.

Sabah memang memerlukan peruntukan yang besar bagi melaksanakan pembinaan lebih banyak infrastruktur sebagai pemangkin ekonomi dan pertumbuhan negeri.

“Prasarana seperti Lebuhraya Pan Borneo memang kita perlukan, begitu juga air, elektrik, ini semua pemangkin ekonomi. Kita berterima kasih kepada kerajaan Pusat kerana semua ini di perlukan untuk menarik pelabur dan mengurangkan kos di Sabah,” katanya.

Walaupun dalam keadaan kekangan ekonomi dunia dan hutang ditanggung kerajaan, belanjawan menyeluruh yang mengambil kira kepentingan pelbagai aspek masih dapat dilaksanakan, malah lebih baik berbanding belanjawan tahun ini.

“Ia sangat inklusif, semua dapat walaupun tidak sebesar yang semua pihak kehendaki, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan hutang yang perlu dibayar,” katanya.

Bagi Sabah, aspek pertahanan juga faktor penting yang dilihat, bukan saja berkaitan penyediaan aset, malah turut merangkumi aspek operasi seperti keperluan bahan api untuk menggerakkan aset pasukan keselamatan.

Peningkatan peruntukan khas kepada RM53.4 juta berbanding RM26.7 juta sebelum ini adalah satu perkembangan yang baik walaupun tidak mencapai 40 peratus yang dituntut dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah hanya terima selama ini RM26.7 juta, lebih 40 tahun tetapi selepas perbincangan dan penyelarasan menerusi semakan MA63, ia ditingkatkan kepada RM53.4 juta walaupun dalam keadaan ekonomi tidak sihat. Ia bolehlah untuk menampung keperluan kita,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau, pula berkata kajian lanjut bagaimanapun perlu dilakukan bagi mengenal pasti peruntukan diberikan kepada Sabah, khususnya berkaitan usaha mengukuhkan kaedah menarik pelabur sektor perindustrian negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih, pula berkata peruntukan RM50 juta bagi menaik taraf landasan kereta api di kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat, Beaufort ke Stesen Tenom akan memberi manfaat kepada pengguna harian pengangkutan itu terutamanya penduduk sekitar.

Peruntukan itu akan memberi manfaat kepada rakyat luar bandar yang berulang alik antara dua stesen itu khususnya penduduk Beaufort dan Tenom.

Sementara itu, rakyat Sabah mengalu-alukan langkah kerajaan menekankan pembangunan luar bandar di negeri ini termasuk pembinaan jalan raya yang menghubungkan Sabah dengan Kalimantan.

Jalan raya menghubungkan Kalabakan dengan Serudong, itu yang membabitkan kos kira-kira RM600 juta bakal memberi manfaat kepada pembangunan Kalabakan dan perdagangan rentas sempadan Sabah-Kalimantan.

Pemaju Mukim Kampung Kalabakan, Abdul Mansah Samat, 41, mengakui projek itu sangat tepat pada masanya, bukan saja untuk meningkatkan kecekapan perhubungan di kawasan itu dan wilayah Kalimantan, Indonesia, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.

“Sekarang yang ada hanyalah jalan balak, jadi kalau cadangan pembinaan Jalan Kalabakan-Serudong dilaksanakan seperti disebut dalam Belanjawan 2020, ia adalah berita yang baik kepada kita, khususnya penduduk di Kalabakan,” katanya.

Berita Harian X