Sabtu, 12 Oktober 2019 | 5:10pm
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menganugerahkan DPMP kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Abu Bakar Katar di Istana Arau hari ini. - Foto BERNAMA

Dua Hakim Mahkamah Tinggi dahului penerima pingat Raja Perlis

ARAU: Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Abu Bakar Katar dan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Rosilah Yop mendahului senarai 198 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-76, hari ini.

Abu Bakar dan Rosilah masing-masing menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Turut berangkat hadir Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menerima Darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang membawa gelaran Datuk adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ir Dr Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Ahmad Zamri Khairuddin; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Ir Izhar Omar

Turut menerima darjah sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Ketua Provos Marsyal Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedar Jeneral Mislan Anuar; Komandan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat, Dr A Endry Nixon dan Pengarah Ordnans Markas Tentera Darat, Brig Jeneral Mohd Norbi Ismail.

Raja Perlis turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) kepada Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azizan Md Arshad dan Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Dr Othman Warijo.

Selain itu, enam individu menerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) dan seorang menerima Pingat Mahkota Perlis (PMP).

Berita Harian X