Sabtu, 12 Oktober 2019 | 6:44pm
Gambar fail, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - Foto Hazreen Mohamad

Terserah kepada Kerajaan Persekutuan untuk laksanakan PSP di Sarawak - KM

MIRI: Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memutuskan sama ada mahu memperluaskan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) sehingga turut merangkumi negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata susulan masalah kewangan yang dihadapi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkenaan berhubung bila program itu perlu dilaksanakan di Sarawak.

“Terserah kepada mereka untuk memutuskan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penganugerahan pingat dan darjah kebesaran sempena sambutan hari ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang ke-83, di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen, semalam, berkata sekiranya Kerajaan Sabah dan Sarawak berhasrat turut serta dalam PSP, Kerajaan Persekutuan akan menerima permintaan mereka.

Guan Eng berkata, PSP akan hanya dilaksanakan di Semenanjung, namun pengguna di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati harga siling petrol bersubsidi pada RM2.08 bagi RON95 dan RM2.18 untuk diesel.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2020, Abang Johari berkata, peruntukan RM4.4 bilion bagi perbelanjaan pembangunan tahun depan akan dapat merangsang lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita menyambut baik belanjawan itu walaupun ia tidak seperti yang dijangka, namun pastinya ia boleh menggerakkan ekonomi kita ke hadapan,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata, peruntukan RM735 juta khusus bagi sekolah daif di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, diharap mencukupi untuk tahun depan.

“Saya menjangkakan jumlah lebih besar memandangkan pendidikan agak kritikal ketika ini. Secara keseluruhan, belanjawan - okey,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X